Dasar keamanan dan keharmonian

 Dasar keamanan dan keharmonian
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

KETIKA dunia keseluruhannya mengalami dugaan pandemik COVID-19 yang memasuki tahun yang kedua kini, maka seluruh dunia juga nampaknya mulai membantu dan bekerjasama untuk menentang dan cuba menghapuskan malapetaka yang hebat ini. Saya teringat ketika saya berada di Riyadh, ibu negara Saudi Arabia, sebagai Duta negara kita di sana, ramai para diplomat yang mengakui bahawa negara kita, Malaysia, merupakan salah sebuah negara contoh dari sudut keharmonian etnik, iaitu walau pun Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama, tetapi kehidupan rakyatnya berada dalam aman damai, sama-sama membina negara, merasai kebahagiaan dan kesejahteraan yang baik.

Oleh itu ketika negara ini berada di dalam cabaran yang getir ketika mengalami pandemik ini juga, pada umumnya, rakyat masih dapat hidup dalam suasana aman dan damai, terutamanya ketika sama-sama berusaha untuk menghapuskan pandemik ini dengan mengambil vaksin dan menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pada umumnya keadaan darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan satu tindakan bersama semua rakyat dalam negara ini, tanpa mementingkan kepentingan politik kepartian, terutamanya dari segi perkauman dan kepercayaan masing-masing. Kebijaksanaan Agong untuk mengisytiharkan darurat ini adalah merupakan satu langkah terbaik bagi menghadapi suasana damai yang seharusnya di nikmati oleh negara dan rakyatnya ketika keseluruhan rakyat merasakan kesempitan hidup dan kegelisahan dalam kebanyakan lapangan hidup, termasuk ketika hospital dan pusat-pusat perubatan mengalami kesempitan ruang dan tenaga rakyat juga berada dalam kegelisahan juga ketika pesakit mengalami keadaan yang menyedihkan dengan kesesakan ruang rawatan, kematian yang semakin meningkat, kekurangan tenaga perubatan dan sebagainya.

Kerjasama rakyat menjaga disiplin diri, dan sama-sama menghalang jangkitan penyakit yang membuat serangan kali kedua dalam masa yang terdekat baru-baru ini, merupakan satu usaha bersama yang agak sukar dilaksanakan sekiranya rakyat mempunyai perasaan tidak ikhlas sesama sendiri, tanpa bersatu hati dan azam yang sama, terutamanya di pihak golongan hadapan dalam menentang wabak yang merbahaya ini. Kita dapat melihat dan mendengar bagaimana perit dan penatnya pasukan hadapan yang terdiri dari ahli perubatan juga para petugas yang menjaga keamanan dan keselamatan semua rakyat di segenap pelusuk  negara kita ini, termasuk para pemandu kereta ambulan, dan pengiringnya, kereta bomba dan sebagainya ketika menghadapai zaman darurat ini.

Malah dalam keadaan kesempitan kehidupan dan perbelanjaan rakyat kita juga, terdapat segala bantuan dan simpati sesama sendiri juga usaha dari kerajaan untuk membantu dan menghilangkan kesempitan hidup ini secara bersama, yang sebenarnya membayangkan usaha aman damai dan bantu membantu sesama sendiri ketika susah dan derita dalam kehidupan kini.

 


“Misi Islam ialah membawakan keamanan dan keharmonian sesama manusia, iaitu ketika umat Islam tidak dimusuhi kerana mereka adalah orang Islam dan selama mana rumah tangga, kampung halaman dan negara mereka tidak dirampas secara zalim, kerana agama dan harta benda serta negara orang Islam tidaklah harus dicerobohi.”


 

Hal ini semuanya dilakukan oleh masyarakat keseluruhannya sebagai tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia, dan kewajipan bersama untuk mempertahankan kesejahteraan rakyat. Inilah sebenarnya keadaan negara kita sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan amatlah diharapkan bahawa rakyatnya haruslah terus menanamkan semangat dan kesedaran bahawa mereka mempunyai Perlembagaan sendiri, diperkuatkan pula dengan jaminan keselamatan dan keamanaan semua rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan, Rukun Negara dan menghormati Majlis Raja-Raja Melayu, maka semuanya berjalan dengan baik, tanpa sebarang peristiwa yang besar dan ngeri seperti yang berlaku di sesetengah negara lain.

Selain dari Peristiwa 13 Mei yang berlaku dalam masa yang pendek dan dapat diselesaikan dengan agak cepat, maka Malaysia juga pernah mengalami beberapa ujian lain yang agak mencemaskan, termasuk kehilangan pesawat MH 370 pada 8 Mac 2014 yang terhempas dan mengorbankan semua penumpang dan kakitangannya. Terdapat 38 orang penumpang Malaysia dari kalangan berbagai etnik yang turut terkorban. Maka pada ketika itu semua rakyat Malaysia merasa amat sedih dan dukacita di atas kemalangan yang melibatkan saudara-saudara mereka sesama rakyat Malaysia dan penumpang berbagai bangsa yang lain, sehingga para pengikut berbagai agama melakukan ibadat dan upacara masing-masing ke atas korban pesawat tersebut.

Begini jugalah sebenarnya yang kita rakyat Malaysia ketika ini merasakan perasaan yang cemas terhadap semua rakan dan teman sesama rakyat kita dalam menghadapi Pandemik COVID-19 ini, dan sama-sama berjaga dengan slogan sendiri “kita jaga kita”, iaitu untuk menjaga sesama kita semua maka wajiblah kita menjaga keselamatan sendiri dan orang lain juga.

Dalam konteks ini, oleh kerana Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia semua, maka umat Islam negara kita sering mengingati ajaran agamanya yang membawa pesanan dan perutusan supaya semua manusia, berbagai etnik dan kaum, lelaki dan perempuan di jadikan Allah SWT untuk berkenalan dan bebaik-baik sesama sendiri, untuk hidup secara aman damai di dunia ini, malah kehadiran manusia kepelbagaian agama juga merupakan kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.  Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah menjelaskan tentang kehidupan bersama secara aman dan adil (peaceful co existence) ketika tidak wujudnya sebarang permusuhan di antara kedua belah pihak, iaitu ketika Allah SWT menjelaskan bahawa “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.”

Perlembagaan kita yang mengndungi banyak jaminan keamanan dari segi undang-undang dan peraturan lain juga memberikan kedudukan agama Islam dan agama lain sebagai satu kebebasan untuk rakyat semua, iaitu yang diamalkan dengan harmoni dan aman damai, sehingga ayat yang terdapat di dalam Al-Quran di sebutkan tanggung jawab pihak semua agama, termasuk penganut agama bukan Islam untuk menjaga keharmonian ini supaya jangan ada permusuhan atau gerak langkah tersembunyi sebagai tindakan yang tidak baik dari semua kalangan rakyat terhadap golongan yang lain.

Sebab itulah telah disebutkan di atas bahawa misi Islam ialah membawakan keamanan dan keharmonian sesama manusia, iaitu ketika umat Islam tidak dimusuhi kerana mereka adalah orang Islam dan selama mana rumah tangga, kampung halaman dan negara mereka tidak dirampas secara zalim, kerana agama dan harta benda serta negara orang Islam tidaklah harus dicerobohi.

Dalam proses mengembalikan keamanan kita semua dari sebarang malapetaka, terutamanya COVID-19 yang telah benyak memakan korbannya di negara kita, maka marilah kita semua bersatu hati dan bergabung tenaga menjaga SOP dan semua aspek keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat kita untuk menanti kehadiran zaman kesihatan yang asal ke negara kita, dan rakyat semua dapat kembali bekerja dan berusaha sebagai satu masyarakat yang aman damai, harmoni sesama sendiri di dalam negara kita yang tercinta ini.

 

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *