• Thursday, 17 June 2021, 2:06 pm

Dasar inklusif bebaskan kebergantungan makanan import 

 Dasar inklusif bebaskan kebergantungan makanan import 

Ulasan mengenai Dasar Sekuriti Makanan, Bahagian Kedua

Oleh Mohd Kamal Ahmad

MESYUARAT pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara diadakan 8 September 2020 lalu. Tetapi sejak itu, belum ada susulan diumumkan kepada umum mengenai gerak kerja atau tindakan awal yang diambil oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipertanggungjawabkan membantu Jawatankuasa Kabinet tersebut.

Belajar daripada impak COVID-19 yang sedang melanda ini, jawatankuasa Kabinet bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.

Dilaporkan, lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara telah dibentangkan. Ia berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import. Turut dibentangkan strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada.

Kini COVID-19 membadai kita sekali lagi menerusi gelombang ketiga. Ramai pekebun, petani, penternak dan peladang terjejas kerana hasil tuaian atau ternakan tidak boleh dipasarkan. Tuaian hasil pertanian bukan boleh ditangguhkan jadualnya. Tiba masanya, ia mesti dituai dan dijual. Tetapi kerana PKP, hasil terbiar busuk di kebun atau di ladang kerana tidak boleh dipasarkan.

Justeru, Jawatankuasa Eksekutif wajar melihat kejadian-kejadian yang mengakibatkan kerugian ini. Ia melibatkan petani yang telah mengeluarkan modal puluhan ribu ringgit. Dan kedua, rugi kerana pembaziran sumber apabila hasil tuaian tidak boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Ketiga, peningkatan kos operasi untuk mempertahankan hasil yang tidak boleh dijual seperti ternakan ayam yang perlu diberi makan dan diselenggara sedangkan sepatutnya ayam tersebut sudahpun dijual.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara juga bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), untuk mewujudkan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi. Kluster tersebut ialah;

  1. Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan;
  2. Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;
  3. Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) Kementerian Kesihatan Malaysia; dan
  4. Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Majlis Keselamatan Negara.

Keempat-empat kluster itu akan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan serta pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti. Kita berharap, Jawatankuasa Kabinet ini dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan cukup dan terjamin.

Bagaimana caranya hendak memacu ke arah pencapaian dasar tersebut? Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia, Prof Datuk Dr Fatimah Mohamed Arshad, berkata perkara utama yang mesti dilakukan ialah penekanan terhadap pembangunan makanan melalui Dasar Pertamakan Makanan (Food First Policy).

Prof Datuk Dr Fatimah Mohamed Arshad

Beliau berkata, menerusi dasar itu, beberapa usaha mesti dilakukan untuk mencapai matlamat dasar tersebut iaitu:

  • Meningkatkan R&D dalam komoditi makanan untuk meningkatkan produktiviti, nilai tambah, inovasi pengeluaran, memajukan kecekapan logistik dan lain-lain.
  • Meningkatkan R&D untuk PKS (termasuk mikro).
  • Meningkatkan R&D untuk mengeluarkan mesin dan jentera kecil untuk pengeluar kecil dan PKS (termasuk mikro).
  • Untuk (i) dan (iii), Malaysia memerlukan IPT untuk melaksanakan R&D selain UPM.
  • Pendigitalan pengeluaran dan pemasaran komoditi makanan menggunakan dron, internet of things, artificial intelligence, block chain.
  • Mengeluarkan input tempatan seperti baja, benih, baka, makanan untuk ternakan, mesin dan lain-lain. Ini akan memberi faedah dalam:
    1. Mendinamikkan industri input (seperti baja) tempatan.
    2. Mengurangkan aliran keluar wang asing.
    3. Mengurangkan kos pengeluaran.
    4. Memperkasakan bahan buangan tempatan dan biomas tempatan.

Sementara itu, pelaburan dalam sektor pertanian dipandang sepi oleh kebanyakan pihak yang sepatutnya menceburi dan menggerakkan sektor pengeluaran makanan.

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor pertanian dilihat tidak diberi penekanan yang sepatutnya tetapi pelabur lebih tertumpu kepada tanaman komoditi tertentu seperti kelapa sawit yang dilihat mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

“Sebenarnya, terdapat pelbagai tanaman yang boleh diusahakan bagi memenuhi keperluan makanan tempatan yang sememangnya menjana perniagaan yang menguntungkan. Di samping itu, sektor pertanian juga mampu meningkatkan nilai tambah ekonomi hasil daripada kegiatan yang dikembangkan melaui rantaian bekalan yang boleh memberi manfaat kepada penduduk bandar, separa bandar dan luar bandar.

“Contoh, setiap tanaman memerlukan baja dan racun, ada yang organik dan bukan organik. Perkara ini sudah pasti membuka peluang untuk diusahkan baja untuk dibekalkan kepada pengusaha tanaman. Selain itu, peralatan ‘hardware’ seperti sistem perpaipan serta khidmat nasihat bagi menanam sesuatu tanaman juga boleh dikembangkan terutamanya bagi mereka yang berpengalaman dalam bidang pertanian.

“Seterusnya, industri hiliran boleh diusahakan bagi menambah nilai hasil tanaman yang diusahakan. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan dengan cekap, telus dan berdaya saing, maka manfaatnya adalah besar kepada rakyat. Negara juga akan kurang bergantung import makanan,” katanya.

Dr Afzanizam berkata, tidak semestinya syarikat besar menerajui tanggungjawab menjayakan matlamat ini. Yang penting adalah usaha kerajaan untuk mengkoordinasikan tanaman apa yang diperlukan, mengenal pasti saluran perniagaan seperti pemborong serta memastikan mekanisme penentuan harga pasaran bagi sesuatu tanaman itu berlaku dengan adil tanpa ada unsur-unsur penipuan serta maklumat harga yang tidak tepat.

Kata beliau, rantaian bekalan ini juga boleh disalurkan kepada syarikat kecil, sederhana dan besar supaya tanaman yang diusahakan mempunyai pasaran meluas dan pengusaha pertanian akan cepat mendapatkan balik modal yang mereka laburkan.

Bagaimana teknologi, tenaga mahir, polisi kerajaan dan pembiayaan akan menjayakan misi ini?

Beliau menjawab, dari segi penggunaan teknologi terkini, pelbagai agensi kerajaan penting untuk digerakkan bagi menyalurkan maklumat serta latihan kepada pengusaha  untuk menaik taraf amalan pertanian mereka. Antaranya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Jabatan Pertanian perlu bergerak lebih aktif yang mana KPI mereka perlu diselaraskan bagi mencapai tahap penggunaan teknologi yang lebih baik.

Dalam soal bentuk halangan untuk mencapai sifar import bahan makanan, Dr Afzanizam berkata ianya lebih bersifat keazaman politik (political will). Ia memerlukan hala tuju yang jelas serta kepimpinan yang mempunyai visi untuk memajukan sektor pertanian ini dengan lebih berdaya saing.

“Selain itu, stigma bahawa pertanian adalah kerja orang kampung atau tidak trendy perlu dibuang jauh-jauh kerana sektor ini sebenarnya mampu untuk meningkatkan taraf kehidupan seseorang dengan lebih baik lagi. Malaysia mengimport makanan kira-kira RM50 bilion pada 2020. Sekiranya, 10 peratus daripada nilai import dapat dihasillan oleh pengusaha tempatan, maka laba yang bakal mereka dapat adalah kira-kira RM5 bilion. Ini satu angka yang besar yang mampu menaik taraf sosioekonomi seseorang,” katanya.

Di peringkat global, Strategi Sekuriti Makanan Global Kerajaan Amerika Syarikat (U.S. Government Global Food Security Strategy 2016-2021) digubal menerusi pengalaman, kemahiran dan sumber negara itu dan agensinya selain input sektor swasta, institusi pendidikan selain pertubuhan awam.

Dunia ketika ini perlu menangani kebuluran global, kurang nutrisi dan kemiskinan tegar selain cabaran serius membabitkan perubahan iklim serta kemerosotan alam sekitar. Dianggarkan lebih 700 juta penduduk dunia hidup dalam kemiskinan tegar dan 800 juta mengalami kekurangan zat makanan yang kronik. Selain itu, 159 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun, terbantut.

Justeru, impak krisis makanan domestik, serantau mahupun global sangat mudah difahami. Isu sekuriti makanan bukan hanya masalah ekonomi dan kemanusiaan semata-mata. Ia boleh merebak menjadi krisis nasional apabila turut dilabelkan sebagai masalah keamanan kerana jerutan belenggu kemiskinan dan kelaparan yang semakin meningkat bakal mengherat sesebuah negara dan masyarakat yang rentan kepada peningkatan ketidakstabilan, konflik dan keganasan. Lebih serius – peperangan!

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *