Darurat elakkan karenah birokrasi dan politik ketika tangani pandemik

Oleh Amerul Muner Mohammad

 

TELAH lebih setahun kita berperang dengan COVID-19.

Dari hari pertama virus tersebut dijejak di Malaysia pada bulan Disember 2019 sehingga hari ini, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Namun setakat 10 Jun, sebanyak 639,562 kes jangkitan telah dikesan dan 3,684 kematian telah direkodkan. Perkhidmatan kesihatan Malaysia kini berada di tahap maksima dan julung-julung kalinya Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yelah diaturgerakkan bagi membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak ini.

Darurat telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 11 Januari lalu di atas nasihat Kabinet bagi melancarkan gerak kerja kerajaan untuk melawan COVID-19. Darurat bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diputuskan oleh YDPA, namun dalam keadaan peperangan luar biasa, tindakan luar biasa perlu dilakukan oleh semua pihak terutama pemerintah negara. Kita harus sedar bahawa darurat yang diisytiharkan bukanlah darurat keselamatan dengan kerajaan dimansuhkan dan pentadbiran negara diambil alih oleh pihak tentera atau Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebagaimana yang berlaku dalam tahun 1969.

Walaupun sidang Parlimen digantung melalui pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari 2021, kerajaan dan Kabinet sedia ada masih berfungsi dan terus menjalankan tugas masing-masing tanpa sebarang perubahan. Malah tanggungjawab yang lebih besar sedang dihadapi oleh kerajaan bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat ditangani dengan lebih berkesan. Penggantungan Parlimen walaupun disifatkan sebagai antidemokrasi oleh sesetengah pihak, tindakan tersebut adalah perlu bagi memastikan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dapat dijalankan secara lancar tanpa karenah birokrasi dan politik yang besar.

Walaupun darurat kelihatan seolah-olah kerajaan mempunyai kebebasan penuh tanpa semak dan imbang oleh pembangkang di Parlimen, namun segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara telah dipertimbangkan oleh YDPA sebelum baginda bersetuju dengan cadangan kerajaan. Ini adalah jelas apabila YDPA menolak permintaan Perdana Menteri pada kali pertama permohonan untuk mengisytiharkan darurat dibuat. Pengisytiharan darurat hanya diperkenankan setelah YDPA berpuas hati dalam segala aspek yang berkaitan.

Ramai yang beranggapan bahawa darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung atas tujuan politik bagi menjamin kedudukan kerajaan Pakatan Nasional yang dianggap rapuh. Tetapi hakikatnya, kestabilan politik adalah kunci bagi memenangi peperangan yang sedang berlaku sekarang. Sekiranya setiap langkah yang dilakukan oleh kerajaan perlu melalui sekatan, maka beban yang lebih besar akan dihadapi oleh negara. Adalah jelas bahawa walaupun kerajaan mempunyai ruang luas untuk melawan musuh, kerajaan juga mempunyai beban yang lebih besar untuk memastikan musuh iaitu Covid19 dapat ditumpaskan dan rakyat dapat kembali hidup dalam norma tanpa pandemik.

 


Walaupun darurat kelihatan seolah-olah kerajaan mempunyai kebebasan penuh tanpa semak dan imbang oleh pembangkang di Parlimen, namun segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara telah dipertimbangkan oleh YDPA sebelum baginda bersetuju dengan cadangan kerajaan.

Ini adalah jelas apabila YDPA menolak permintaan Perdana Menteri pada kali pertama permohonan untuk mengisytiharkan darurat dibuat.


 

Sebenarnya, kerajaan mengambil risiko politik yang besar apabila Parlimen digantung. Sudah pasti pengundi akan menilai keberkesanan pengisytiharan darurat di dalam peperangan menentang COVID-19 dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Di dalam peperangan yang sedang melanda negara ketika ini, semua lapisan masyarakat terkesan dan kehidupan seharian setiap penduduk Malaysia telah berubah. Impak ekonomi terhadap negara dan anggota masyarakat adalah amat besar. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengakibatkan ramai yang hilang punca pendapatan. Inisiatif dan bantuan kerajaan sedikit sebanyak membantu, namun COVID-19 perlu ditumpaskan dengan segera.

Usaha vaksinasi harus diperluaskan bagi memastikan setiap warganegara dan penduduk mendapat vaksin kerana imuniti kelompok adalah satu-satunya jalan keluar dari ancaman ini. Wakil-wakil rakyat harus memainkan peranan yang lebih agresif untuk menggalakkan rakyat mendapat vaksinisasi. Semasa pilihan raya, semua calon berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapat undi dari setiap pengundi, langkah yang sama perlu dilakukan sekarang bagi tujuan vaksinisasi.

YDPA telah memanggil menghadap ketua parti-parti politik Malaysia bagi membolehkan baginda mendapat pandangan rakyat di negara ini mengenai perjalanan kerajaan dan negara. Tindakan YDPA ini, walaupun jarang dilaksanakan, namun sebagai sebagai ketua negara mengikut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, baginda mempunyai tanggungjawab untuk mendapat pandangan dan maklumbalas semua pihak bagi membolehkan baginda membuat sesuatu keputusan demi kebaikan setiap rakyat di negara.

Inilah contoh Raja berjiwa Rakyat. Baginda sentiasa mengambil kira kesejahteraan rakyat di dalam setiap keputusan banginda.

YDPA adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Sebagai seorang yang mendapat pendidikan ketenteraan dari Royal Military Academy of Sandhurst dan lain-lain institusi pendidikan terkemuka, baginda amat arif dalam pengurusan semasa bencana. Walaupun baginda mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, ini tidak menghalang baginda untuk mendapat pandangan daripada pihak-pihak lain sebagaimana yang dilakukan oleh YDPA ketika ini.

Rakyat yang kini terkurung akan menghulur tangan kepada pemimpin-pemimpin negara. Inilah masa bagi kesemua yang menganggap diri mereka ‘pemimpin’ membuktikan daya kepimpinan yang akan berjuang untuk membebaskan rakyat dari cengkaman COVID-19.

– Penulis merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  6  =  1