Dakwaan Sanusi tidak berasas – JDT

ISKANDAR PUTERI – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani Akhyar Rashid.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya telah mengeluarkan sekeping cek bernilai RM100,000 kepada Kedah FA pada 31 Disember 2018.

Walau bagaimanapun, menurutnya, cek tersebut telah dipulangkan oleh Kedah FA kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini.

“JDT terkejut dengan tuduhan tidak berasas Presiden Kedah FA itu mengenai JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani seorang pemain.

“Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan pasukan Kedah.

JDT menyangkal dakwaan Presiden Kedah FA bahawa pasukan Harimau Selatan tidak menjelaskan bayaran semasa mendapatkan khidmat Akhyar Rashid

“JDT bersetuju untuk membayar lebih dan telah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Edwards memberitahu, Mahkamah Timbang Tara kemudiannya telah membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.

Selepas itu, tiada ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT.

“Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa skuad Harimau Selatan itu masih belum menjelaskan bayaran pampasan mendapatkan Akhyar.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *