Dah tak takut pegang ular!

 Dah tak takut pegang ular!

Mazidah Mohamed memegang ular tedung selar ketika menyertai Kursus Pengendalian Binatang Berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing.

Kuantan: “Keyakinan untuk berdepan ular berbisa seperti tedung selar dan senduk seolah-olah hadir dalam diri saya selepas mengikuti kursus pengendalian binatang berbisa selama tiga hari.


“Saya kini mampu memegang ular walaupun masih ada perasaan bimbang, teknik memegang kepala reptilia itu dengan betul dapat mengelak kejadian buruk berlaku,” kata Mazidah Mohamed, 48. Mazidah yang bertugas di
Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub berkata, sebelum ini dia begitu takut dan geli untuk memegang ular namun kini perasaan itu dapat diatasi walaupun tidak seratus peratus.


Katanya, perasaan geli dan takut perlu dibuang jika seseorang itu ingin memegang ular tidak mengira apa jenisnya sama ada berbisa atau tidak kerana sedikit kesilapan boleh mengundang padah.


“Penggunaan alat penyepit dengan berkesan selain teknik memegang kepada ular yang betul perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan reptilia ditangkap tidak terlepas dan menyerang.


“Jika tidak ada kemahiran individu terbabit tidak perlu berlakon berani kerana sedikit kesilapan akan mengundang padah dan boleh membawa maut,” katanya ditemui ketika menyertai Kursus Pengendalian Binatang Berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing di sini, semalam.


Kursus tiga hari itu mendapat bimbingan jurulatih kursus pengendalian haiwan berbisa Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang Terengganu, Safiq Mohamad disertai 20 kakitangan JPNP termasuk lima wanita.

jurulatih Safiq Mohamad (kanan) ketika mengendalikan Kursus Pengendalian Binatang Berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing.


Program membabitkan teori dan latihan amali seperti cara menangkap, teknik memegang dan tindakan awal jika dipatuk ular berbisa. Mazidah berkata, kakitangan JPNP perlu memiliki kemahiran berdepan ular berbisa seperti tedung selar bagi membantu ketika berlaku kecemasan ketika bertugas dalam hutan.


Bagi Samuri Idrus, 55 berkata kursus disertai memberikan semangat dan keyakinan terhadap kemampuan menangkap dan memegang ular jika terserempak haiwan berbisa itu.


“Saya seperti tidak percaya apabila boleh menangkap dan memegang ular ketika latihan amali diadakan, sokongan jurulatih menjadi dorongan membuktikan kebolehan yang ada.


“Sebelum ini, saya takut dan geli dengan ular, tetapi sekarang perasaan itu hilang, bagaimanapun untuk keselamatan saya tidak akan cuba berdepan dengan ular berbisa seperti tedung selar dan beberapa spesies lain,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

21  +    =  22