• Sunday, 20 June 2021, 12:50 pm

Daging kayangan Suwarin Jinda kini fenomena

 Daging kayangan Suwarin Jinda kini fenomena

Suwarinda menunjukkan daging kayangan dan pek yang sedia diedarkan.

Oleh Ama Alias

KOTA BHARU, 23 Mei – Menggabungkan lima bahagian daging berkualiti tinggi yang dinikmati hanya di restoran mewah dan dijadikan menu stik, daging kayangan hasil inovasi Suwarinda Jinda Abdullah, 50, sememangnya mencipta kelainan.

Suwarinda berkata, beliau melakukan inovasi untuk menghasilkan daging itu selepas fenomena satu jenama daging melanda negara.

Atas permintaan tinggi pelanggan, beliau melihat ramai pelanggan gemarkan kualiti daging yang tinggi meskipun harganya dua kali ganda lebih mahal berbanding daging biasa.

Usahawan berasal dari Thailand itu berkata, kelainan daging kayangan adalah dari segi perapan daging dan jenis sos. Perapannya juga lebih manis berempah dan cukup untuk dinikmati sekadar dengan kuah cili Thai, katanya.

Suwarinda berkata, nama kayangan pula dipilih memandangkan bahagian daging yang dipilih biasanya berharga mahal dan dinikmati ‘golongan kayangan’ atau yang berduit sahaja.

Bahagian daging yang dipilih adalah daripada daging batang pinang, tulang rusuk, stik bahu dan bahagian dada.

Suwarinda yang juga pemilik Restoran Suwarin Jinda Café menghasilkan produk daging kayangan pada awalnya kerana mahu menampung kos operasi dan menyara 45 pekerja restorannya yang terjejas selepas restoran tidak dapat beroperasi seperti biasa akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan.

Suwarinda dan Yasmien menunjukkan produk daging kayangan yang mendapat sambutan hangat.

Katanya, meskipun restoran dapat membuat jualan secara pandu lalu dan bungkus, selain jualan miang pla yang menjadi menu pilihan ramai, namun jualan itu tetap tidak mampu menampung perbelanjaan dan membela nasib pekerjanya.

“Jadi saya keluarkan resepi daging kayangan dan tidak sangka untuk pengeluaran pertama sahaja, kami berjaya jual 1,000 kilogram daging kayangan,” katanya.

Isteri kepada Azli Mohd Zain, 61, ini berkata, beliau mengambil masa lebih sebulan untuk mengubah suai resepi daging kayangan sesuai dengan cita rasa penduduk Kelantan dan Malaysia berbanding resepi asal Thailand yang lebih pedas.

Beliau menghasilkan daging kayangan tiga kali seminggu bagi memenuhi permintaan seluruh negara yang kini diuruskan secara jualan bungkus siap oleh pelanggan tetapnya yang menjadi master stokis untuk daging kayangan iaitu Yasmien Aiezzam Yasin, 32.

Yasmien memberi cadangan kepada Suwarinda untuk memasarkan daging kayangan menerusi agen dan jualan dalam talian memandangkan produk itu mampu pergi lebih jauh kerana mendapat permintaan yang sangat tinggi.

“Faktor daging yang mempunyai jangka hayat yang pendek adalah lebih sesuai dijual secara agen. Malah cara ini dapat memberi peluang orang ramai menikmati daging kayangan menangis Suwarin Jinda,” katanya yang kini mempunyai lebih 500 agen seluruh negara.

Katanya, produk itu kini memberi peluang suri rumah, pelajar dan sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan dengan menjadi agen daging kayangan dengan modal serendah RM150 sahaja.

Yasmien berkata, daging kayangan dan harimau menangis kini boleh didapati di laman sosial, Instagram, bysuwarin_hq bagi mengetahui agen terdekat untuk pembelian dan juga bagi mendaftar agen.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *