Dadah: Sebutan semula kes pelakon Niezam Zaidi, pengarah 10 Jan

 Dadah: Sebutan semula kes pelakon Niezam Zaidi, pengarah 10 Jan

KUALA KANGSAR, 1 Dis — Mahkamah Majistret di sini menetapkan 10 Januari tahun depan sebagai tarikh baharu bagi sebutan semula kes pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, bersama pengarah filem dan penolongnya yang masing-masing mengaku bersalah pada Oktober lalu atas pertuduhan memiliki dadah.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari membuat keputusan itu, hari ini, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, memohon satu tarikh baharu dalam tempoh sebulan untuk menyerahkan laporan kimia yang belum tersedia berkaitan kes itu, memetik laporan Bernama hari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh hadir ke mahkamah dengan berpakaian biasa.

Sebelum ini, Mohd Shazmeer menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan semula kes Muhamad Niezam bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, sementara menunggu laporan kimia.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28; pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki dadah di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar,Perak.

Menurut pertuduhan, Niezam didapati memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

13  −    =  4