Dadah ‘berlesen’ diserbu, di Perak

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR, 18 JAN 2022 – Sindiket dadah didalangi tiga lelaki dikesan menjadikan kawasan perindustrian kilang, di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah di Perak sebagai pusat pengeluaran dadah ketamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pemilik premis membuat laporan kerana mencurigai aktiviti yang dijalankan selain mempunyai tunggakan bil elektrik.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Katanya, susulan laporan terbabit, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan serbuan, sekitar jam 1.30 petang, Khamis lalu hingga 5.45 pagi keesokan hari, dan menahan tiga lelaki berusia lingkungan 28, 37 dan 40 tahun.

Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas dadah seberat dua tan bernilai RM111.2 juta yang boleh menampung 6.7 juta penagih.

“Selain bahan kimia dan peralatan memasak, polis turut menyita aset sindiket iaitu enam kenderaan antara BMW, Honda City, Toyota Hilux, motosikal dan barang kemas bernilai RM200,000.

“Tindakan itu diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ahad lalu.

Ayob Khan berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menyewa premis berkenaan untuk memproses dan mengedar dadah bagi pasaran tempatan.

Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan direman selama empat hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : Sinar Harian Online