‘Dada berlubang, jantung terkeluar sedikit’

 ‘Dada berlubang, jantung terkeluar sedikit’

Ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat mangsa ditemukan dengan kesan kelar dan tikaman di rusuk kanan hadapan rumahnya di Kapung Desa Makmur Majidee, Johor Bahru hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Rasa tidak sedap hati dan tidak dapat tidur seorang wanita warga emas rupa-rupanya petanda anak lelakinya maut dengan kesan kelar di leher dan tikaman di rusuk kanan di hadapan rumahnya awal pagi ini.

Samsinar Bujang, 63, terjaga pada jam 3 pagi dan tidak dapat melelapkan matanya sehingga azan Subuh berkumandang berdekatan rumahnya di Kampung Desa Makmur, Majidee di sini.

“Semasa mengambil air sembahyang untuk solat Subuh saya terdengar suara perempuan terpekik-pekik. Saya sangka jeritan itu dari ‘highway’ berdekatan, tak mungkin pula anak saya yang menjerit-jerit.

“Anak sulung saya, Rudiriadi Rusli, 41, keluar rumah selepas terdengar isteri anak saya menjerit meminta tolong. Apabila keluar rumah
Rudiriadi ternampak adik lelakinya yang berusia 26 tahun terbaring di tepi jalan depan rumah.

“Dalam keadaan terkejut itu, Rudiriadi membawa adiknya ke hospital dengan kereta dan saya mengikutnya dengan menaiki motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Samsinar, semasa dibawa ke hospital, anaknya itu masih hidup tetapi sedang nazak namun tidak lama selepas itu Rudiriadi memberitahu anaknya itu sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain

“Apabila saya sampai di hospital anak lelaki saya beritahu adik (mangsa) dah tak ada. Ya Allah mak cik tak dapat nak cakap nak. Mak cik terus masuk bilik kecemasan tengok anak mak cik.

“Mak cik kata jangan tutup-tutup (mayat) lagi, mak cik cium dan lap darah di kaki dia yang banyak. Mak cik tengok ada kesan kelar panjang di leher, dadanya ada tebuk dan berlubang kena hentak dengan apa pun tak tau, jantungnya terkeluar,” katanya.

Mangsa dan isteri serta seorang anaknya tinggal bersama-samanya dan tiga lagi adik-beradiknya di rumah tersebut dan sebelum kejadian pasangan tersebut tidak mempunyai masalah.

Menurut Samsinar, pihak polis ada menyiasat isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an kerana merupakan saksi pertama menemukan suaminya terbaring depan rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, hasil pemeriksaan pihak polis menemukan sebilah pisau pemotong kertas satu serpihan mata pisau di tempat kejadian.

“Pihak polis sudah menahan isteri mangsa untuk membantu siasatan. Soal siasat akan dilakukan bagi mengetahui motif kejadian tersebut dan saksi-saksi bebas akan dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  2