Cuti pegawai dan anggota polis Kuantan dibekukan

 Cuti pegawai dan anggota polis Kuantan dibekukan

Asisten Komisioner Mohamad Noor

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 8 April – Polis Kuantan membekukan cuti pegawai dan anggotanya susulan trend peningkatan kes COVID-19 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya perlu bersiap sedia dengan kekuatan pegawai dan anggota yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Di IPD Kuantan, seramai 75 pegawai Kanan Polis dan 1,077 anggota pangkat rendah (PRP) telah diarahkan bertugas. Pembekuaan cuti ini diputuskan berikutan arahan Bukit Aman.

“Namun, pihak kita akan mempertimbangkan cuti, sekiranya berlaku kes-kes kecemasan membabitkan pegawai dan anggota mengikut budi bicara,” katanya, di sini.

Beliau berkata, anggota polis berpakaian preman turut ditugaskan melakukan pengawasan di kawasan tumpuan ramai berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di daerah ini.

Pada 12.01 pagi Rabu, Polis Kuantan telah mengadakan sekatan jalan raya di Tanah Putih Baru, di sini kerana kawasan terbabit dikenakan Tempoh Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 18 Mei ini.

Beliau berkata, kawalan itu akan dilakukan selama 24 jam melibatkan 30 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia ( RELA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita telah meletakkan halangan dan memasang kawat duri di empat laluan utama bagi mengelakkan pergerakan individu melepasi kawasan itu.

“PKPD di Tanah Putih Baru melibatkan jumlah penduduk ini seramai 3,900 membabitkan 788 rumah. Namun begitu aktiviti ekonomi seperti kedai runcit dan kedai makan dibenarkan megikut waktu yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Noor berharap tempoh 14 hari itu dapat dipendekkan, jika semua terlibat memberi kerjasama baik.

Justeru, beliau meminta semua pihak memberikan kerjasama mengamalkan norma baharu.

“Jangan ambil mudah isu pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pihak kita akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan SOP di daerah ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  2