Curi 130 tual balak cari duit raya 

 Curi 130 tual balak cari duit raya 

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 5 April – Hasil jualan untuk belanja menyambut Aidilfitri demkikian alasan pemandu lori, 27, yang diberkas kerana cuba memindahkan balak curi di Jalan Salong-Batu Balik dekat Kuala Mentiga, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30  pagi itu anggota Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengejar lori tiga tan yang dipandu lelaki terbabit sejauh 6 kilometer selepas cuba melarikan diri.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof, berkata pemeriksaan mendapati lori itu membawa muatan 130 tual balak pada saiz 1.2 meter.

Antara spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit itu ialah mempening, merawan, kelat, mengkulang, kedondong dan ludai. Ia digunakan untuk menghasilkan pallet oleh kilang papan lesen B.

Katanya, penahan itu hasil risikan anggota Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP selama beberapa hari bagi mengesan kegiatan itu di Jalan Salong-Batu Balik yang menjadi antara laluan panas yang sering digunakan sindiket mencuri balak di daerah ini.

“Pemandu lori itu berasal dari Kuantan dan beberapa kali merayu dilepaskan dengan alasan hasil jualan balak berkenaan untuk digunakan sebagai belanja dia sekeluarga menyambut Aidilfitri minggu depan.

Lori membawa muatan 130 tual balak curi ditahan anggota Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP selepas dikejar 6 kilometer di Jalan Salong-Batu Balik dekat Kuala Mentiga.

“Undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menetapkan menjadi kesalahan sekiranya memindahkan balak termasuk hasil hutan lain tanpa permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya kepada Wacana.my.

 Muhammad Firdaus berkata, pihaknya kini berusaha mengesan lokasi hutan yang diceroboh untuk aktiviti salah berkenaan dan yakin beberapa individu lain terbabit dengan kegiatan itu termasuk penebang balak.

Beliau berkata, rekod sebelum ini mendapati kegiatan mencuri balak dan memindahkan hasil hutan lain akan bertambah menjelang Aidilfitri, pelbagai cara digunakan oleh sindiket didalangi individu yang mahir dengan kegiatan itu.

“Saya sudah mengarahkan anggota Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP supaya memberi tumpuan kepada beberapa kawasan panas, rondaan dan intipan dilakukan siang serta malam.

“Ramadan tidak bermakna kita  berihat sebalik tugas penguatkuasa dijalankan secara berterusan bagi memastikan hasil hutan tidak mudah dicuri hingga merugikan kerajaan negeri,” katanya yang turut melakukan pemeriksaan di kilang papan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  −  37  =