Cubaan tanam Musang King dalam hutan simpan digagalkan

 Cubaan tanam Musang King dalam hutan simpan digagalkan

RAUB..anggota polis mengawasi aktiviti memusnahkan pokok pisang dan durian Musang King pada Ops Musnah di Simpan Kelau. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

RAUB, 29 Jun — Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak tegas dengan memusnahkan tanaman pisang dan durian klon Musang King dalam kawasan seluas lebih 12 hektar yang ditanam secara haram di Kompartmen 48, Hutan Simpan Kelau, di sini.

Turut dimusnahkan pelbagai pokok buah-buahan seperti nangka, cempedak dan petai yang ditanam secara berperingkat dipercayai diusahakan oleh tiga individu tempatan.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad, berkata operasi musnah bermula 9 pagi semalam disertai 30 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta dibawah pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat JPNP bertindak menebang pisang pada Ops Musnah seluas 12 hektar di Hutan Simpan Kelau. WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, siasatan mendapati dalam kawasan berkenaan terdapat lebih 4,000 pokok pisang pelbagai jenis yang telah mengeluarkan hasil dan kira-kira 350 durian Musang King berusia antara enam bulan hingga tiga tahun.

Menurutnya, selain memusnahkan pokok yang ditanam pihaknya turut akan bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara dibina, dipercayai tempat tinggal individu dan pekerja ladang berkenaan.

“Ketika operasi dijalankan pihak kami tidak menemui individu dalam kawasan ladang berkenaan, dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak menebang pokok durian Musang King pada Ops Musnah seluas 12 hektar di Hutan Simpan Kelau. WMY/Mohd Fikri Mie

“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari,” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian Musang King bersaiz kecil.

Shahril berkata, kedudukan ladang berkenaan bersebelahan dengan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan seolah menjadi pelindung pada individu terbabit melakukan kesalahan sebelum ini.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak menebang pisang seluas 12 hektar di Hutan Simpan Kelau. WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di dalam Hutan Simpan Kelau, mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak JPNP.

“Sebahagian pokok pisang dan nangka sudah mengeluarkan hasil dan ia dipercayai dipasarkan di daerah ini.

“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya yang sebelum ini mengadakan operasi musnah sebanyak 3,500 pokok durian Musang King di HS Sempam, Mukim Tras, di sini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  2