• Friday, 18 June 2021, 12:37 am

Cubaan seludup ikan tilapia, kerisi ke Singapura gagal

 Cubaan seludup ikan tilapia, kerisi ke Singapura gagal

ISKANDAR PUTERI, 12 Jun — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah lori membawa muatan ikan dan merampas ikan tilapia dan kerisi yang cuba diseludup ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam.

Pemeriksaan pegawai Maqis di laluan lori eksport KSAB pada jam 1 pagi mendapati lori berkenaan yang membawa muatan pelbagai jenis ikan memberikan maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

Pengarah (Maqis) Johor, Hizzuan Hasim berkata, lori itu yang diikrarkan oleh ejen penghantaran membawa pelbagai jenis ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sejumlah 170 kilogram ikan tilapia dan 117 kilogram ikan kerisi ditahan atas kesalahan membawa kuantiti ikan melebihi kuantiti yang diikrarkan dalam permit.

“Pemandu lori berkenaan berusia 46 tahun sudah diambil keterangan. Nilai keseluruhan rampasan tersebut bernilai RM4,890,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Tegasnya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Maqis menasihati para pengimport dan pengeskport agar mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan agar kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan dapat dikawal dan dipelihara.

Maqis akan terus sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *