Cubaan hidupkan kembali kongsi gelap guna NGO digagalkan polis, 40 ditahan

 Cubaan hidupkan kembali kongsi gelap guna NGO digagalkan polis, 40 ditahan

BUKIT MERTAJAM, 29 Nov — Sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang berselindung menggunakan nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sedang mengadakan majlis pengenalan di sebuah restoran mewah, di Seberang Jaya terkedu apabila diserbu pihak polis dalam serbuan pada Sabtu lepas (27 Nov).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang Rahimi Ra’ais berkata 40 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ditahan selepas pihak polis menyerbu restoran mewah itu pada 9.30 malam hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya, memetik laporan Bernama.

“Kumpulan (kongsi gelap) itu dipercayai menganjurkan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu mereka dengan mengadakannya di restoran mewah tersebut bagi mengaburi serta mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

Serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Katanya siasatan awal polis mengesyaki kumpulan kongsi gelap itu juga cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Rahimi berkata pemeriksaan yang dijalankan oleh polis juga mendapati lapan orang daripada semua mereka ditahan itu mempunyai tatu bagi sebuah pertubuhan haram dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian kumpulan kongsi gelap tersebut.

Katanya dalam serbuan itu, polis turut merampas 56 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram.

“Semua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 iaitu kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +    =  9