• Sunday, 20 June 2021, 12:49 pm

COVID: Argentina mulakan darurat selepas kes meningkat

 COVID: Argentina mulakan darurat selepas kes meningkat

Kredit foto Xin Hua

BUENOS AIRES, 25 Mei – Argentina telah memulakan perintah berkurung selama sembilan hari selepas kebangkitan kes harian COVID-19 yang kian mengganas di samping pemberian vaksin yang perlahan.

Pada Jumaat lalu, Amerika Latin dan Caribbean telah melepasi satu juta kematian akibat wabak itu yang juga merupakan hampir 30 peratus dari jumlah kematian global. Hampir 90 peratus dari kematian tersebut datang dari Brazil, Mexico, Colombia, Argentina dan Peru.

Menurut Presiden Alberto Fernandez, negara itu kini mengalami saat terburuk selepas merekodkan lebih 35,000 kes sehari pada minggu lepas.

“Darurat terbaru ini membolehkan sektor ekonomi dibuka seperti pasar raya dan perniagaan lain. Namun pembelajaran secara langsung di sekolah akan ditangguhkan. Manakala restoran hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bungkus dan penghantaran ke rumah.

“Selain itu, rakyat hanya boleh keluar rumah hingga jam 6 petang dan sebarang perjumpaan atau aktiviti beramai adalah dilarang,” katanya dalam kenyataan media.

Alberto Fernandez turut menggalakkan orang ramai untuk memberi makluman kepada pihak berkuasa jika menyaksikan sebarang perjumpaan atau sesi melepak.

Bagaimanapun, Alberto berkata darurat berkenaan hanya akan berkuatkuasa dalam jangka masa yang singkat atas kebimbangan kesannya terhadap rakyat dan ekonomi.

“Saya sedar sekatan ini akan menimbulkan pelbagai kesulitan. Tetapi dengan menghadapi realiti, tidak ada pilihan selain memilih pemeliharaan kehidupan. Bantuan ekonomi akan diberikan untuk sektor yang terjejas akibat darurat ini,” katanya.

Pada tahun lalu, Argentina mengenakan perintah darurat terpanjang di dunia dari Mac hingga Julai. Ketika itu, sebarang aktiviti sukan adalah tidak dibenarkan selain sempadan negara ditutup awal dan penerbangan komersial ke negara itu dilarang selama tujuh bulan.

Kesan terbesar daripada darurat itu adalah ekonomi Argentina turun hampir 10 peratus.

Namun, negara itu telah merekodkan 3.4 juta kes dan 73,000 kematian secara keseluruhan. Angka kematian harian pada awal minggu ini memecah rekod baru domestik iaitu sebanyak 745 orang, sementara wad rawatan rapi telah mencapai tahap penghuni tertinggi sejak pandemik itu bermula.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *