• Friday, 18 June 2021, 1:43 am

COVID-19, wabak ke-45 landa manusia

 COVID-19, wabak ke-45 landa manusia

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Wabak atau pandemik, ibarat satu putaran roda yang sentiasa berulang apabila sampai satu tempoh tertentu, demikian diberitahu oleh pendakwah dan pakar ilmu turath (falak), Ustaz Hanafiah Abdul Razak.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia sejak tahun lalu, adalah wabak ke-45 yang dicatatkan dalam sejarah Islam sejak tahun 7 Hijrah.

Katanya kepada Wacana.my, penyakit itu dikenali dalam istilah Bahasa Arab sebagai at-Tha’un yang membawa erti pencemaran atau keracunan air dan udara. Dalam istilah umum, ia sebagai wabak penyakit yang menular.

Menurutnya, pada tahun 7 Hijrah (628M), suatu wabak telah melanda Tisfun, Al-Madain dan seluruh wilayah sebelah barat Kerajaan Sasan. Hari ini, Tisfun terletak kira-kira 32 kilometer di tenggara Baghdad, Iraq.

Jika pandemik COVID-19 berlaku pada 2020, maka kira-kira 100 tahun lalu, wabak terakhir dikenali sebagai pandemik selesema yang dikenali sebagai Spanish Flu berlaku pada 1918 di Amerika Syarikat dan seterusnya muncul di Afrika Barat dan Perancis kemudian tersebar ke seluruh dunia.

Menurut Wikipedia, dianggarkan 50 hingga 100 juta penduduk dunia terkorban kerana menghidap penyakit itu sekali gus bencana alam yang menyebabkan paling ramai manusia maut.

Menurut Ustaz Hanafiah, selepas musibah Tha’un Syiruyah pada 7 Hijrah, Tha’un Amwas berlaku di Syam pada 18 Hijrah (639M) disusuli dengan Tha’un al-Jaraf di Basrah pada 69 Hijrah (688M).

Beliau menyatakan, ada dicatatkan dalam kitab Badzlu al-Maun Fi Fadhli al-Thaun tulisan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, seorang ulama Islam terkemuka pada abad pertengahan yang menyatakan sebuah hadis bermaksud: “Apabila kamu mendengar (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kami, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

“COVID-19 adalah azab dari Allah SWT. Ia azab yang berbeza dengan bencana seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, kemarau panjang, letusan gunung berapi mahupun badai.

“Wabak penyakit adalah azab paling digeruni oleh bangsa-bangsa terdahulu, sama ada ia daripada bangsa Qibti di Mesir, Yahudi dan sehingga kepada bangsa-bangsa moden hari ini,” katanya.

Justeru, katanya, Rasulullah SAW mengajar dam menetapkan kepada umatnya dengan tata cara serta garis panduan khusus seperti dinyatakan dalam hadis di atas.

“Iaitu, sekiranya kita berada di petempatan yang menularnya wabak penyakit, jangan melarikan diri keluar daripadanya. Jika berada di luar zon wabak, maka jangan masuk ke zon pandemik tersebut,” katanya.

Untuk itu, beliau menasihati umat Islam supaya bertabah, bersabar, reda dan memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT sepanjang melalui tempoh yang sukar ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *