COVID-19: SK Taman Cempaka ditutup sementara

 COVID-19: SK Taman Cempaka ditutup sementara

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka di Tampoi di sini ditutup sementara ekoran berlaku penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan bahawa penutupan sekolah berkenaan dibuat selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Mac ini.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, penutupan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.

“Kakitangan dan murid sekolah berkenaan hari ini telah menjalani proses saringan ‘swab test’.

“Pemeriksaan dibuat juga mendapati sekolah berkenaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sejak ia dibuka kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung satu memo yang tular dalam media sosial memaklumkan penutupan sementara sekolah berkenaan ekoran wabak COVID-19.

Memo tersebut memaklumkan seramai tiga murid dan masing-masing seorang guru dan seorang kakitangan sekolah disahkan positif COVID-19.

“Sehubungan itu, murid beberapa kelas melibatkan Tahun Dua, Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam akan menjalani ujian calitan.

“Ibu bapa dan penjaga akan dimaklumkan guru kelas terlibat berkenaan tarikh dan masa untuk murid menjalani ujian berkenaan,” jelasnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

22  +    =  30