COVID-19: Perjalanan masih jauh

 COVID-19: Perjalanan masih jauh
Oleh Dr Razreen Amim Rusli

SUDAH hampir 2 tahun kita dilanda wabak virus COVID-19, namun tiada tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat.

Di Malaysia, kita sedang menghadapi gelombang ke-empat virus ini. Setiap hari kes baru yang dilaporkan melebihi 5,000 orang. Manakala kadar kematian setiap hari akibat COVID-19 semakin meningkat. Sehingga 18 Jun 2021, seramai 4,276 pesakit yang dijangkiti virus ini telah maut iaitu bersamaan dengan 0.62% kadar kematian akibat COVID-19. Ini satu angka yang besar memandangkan Malaysia pada satu ketika berjaya mengawal penularan virus ini dengan baik sewaktu gelombang pertama. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kes COVID-19 meningkat di negara kita.

Yang pertamanya ialah kegagalan mematuhi ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) seperti memakai pelitup muka dengan sempurna iaitu dengan menutupi hidung and mulut. Apabila kita memakai pelitup muka, kita melindungi diri kita dan orang lain dari dijangkiti. Satu kajian yang diterbitkan oleh “The Lancet” pada Jun 2020, memakai pelitup muka dengan sempurna dapat mengurangkan risiko untuk dijangkiti virus COVID-19 sehingga 80%. Namun begitu, ia hendaklah diamalkan bersama-sama dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelindung muka dan mata, dan kerap mencuci tangan menggunakan sabun basuh tangan atapun cecair pembersih tangan.

Selain itu, virus COVID-19 jenis ‘Variant of Concern’ (VOC) yang telah dikesan di setiap negeri di Malaysia terutamanya varian B.1.351 atau varian Afrika Selatan juga penyebab peningkatan kes harian COVID-19 secara mendadak di negara kita.

Terdapat 4 jenis VOC iaitu varian Alpha atau nama saintifiknya B.1.1.7 yang berasal dari UK, varian Beta atau nama lainnya B.1.351 (Afrika Selatan), varian Gamma ataupun P.1 (Brazil), dan akhir sekali varian Delta atau B.1.617.2 (India).  Varian baru ini terjadi kerana, apabila ramai orang dijangkiti virus COVID-19, ia dapat meningkatkan risiko virus untuk bermutasi dan hal ini boleh menyebabkan terhasilnya varian baru. Satu kajian yang telah diterbitkan oleh ‘Eurosurveillance’ menunjukkan kadar kebolehjangkitan VOC meningkat dari 29% hingga 97% berbanding varian sebelum ini, di mana varian Delta adalah yang paling tinggi kadar kebolehjangkitannya.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), VOC ini juga lebih agresif dan kadar kematian akibat VOC berada di paras yang membimbangkan. Menurut kajian yang dibuat di United Kingdom yang baru saja diterbitkan oleh ‘The British Medical Journal (BMJ)’, terdapat peningkatan kadar kematian dari 2.5 hingga 4.1 setiap 1,000 kes berbanding varian sebelum ini. Satu lagi kajian yang dilakukan di Universiti Exeter, United Kingdom melaporkan peningkatan risiko kematian yang ketara disebabkan oleh VOC. Ramai pesakit COVID-19 yang dijangkiti varian ini tergolong dalam kategori empat ataupun kategori lima dan mereka perlu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantuan rapi.

Hal ini menyebabkan katil di wad ICU di kebanyakan hospital penuh. Pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke ICU memerlukan masa pemulihan yang lebih lama akibat komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, secara purata rawatan di ICU untuk kategori 4 adalah 14 hingga 16 hari dan untuk kategori 5 pula antara 19 hingga 26 hari.

Sehingga 18 Jun 2021, seramai 5.33 juta rakyat Malaysia telah menerima vaksin berdasarkan data dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). Daripada jumlah tersebut, seramai 1.52 juta telah menerima 2 dos vaksin. Ini bersamaan  dengan 4.6% penduduk Malaysia.

Untuk mencapai ‘Herd Immunity’ ataupun Imuniti Kelompok, sekurang-kurang 80% rakyat Malaysia mestilah lengkap divaksinasi. Imuniti kelompok terjadi apabila sesuatu populasi telah mencapai kekebalan terhadap virus COVID-19 melalui vaksinasi, seterusnya dapat mungurangkan penyebaran wabak ini dan melindungi mereka yang tidak dapat menerima vaksin. Oleh kerana, kita masih belum mencapai imuniti kelompok, rakyat Malaysia masih lagi terdedah dengan risiko dijangkiti virus COVID-19 dan penularan virus ini masih lagi berluasa.

Selain Malaysia, negara lain turut mengalami masalah yang sama iaitu peningkatan kes harian COVID-19 akibat VOC. United Kingdom mencatatkan lebih 10,00 kes baru COVID-19 pada 18 Jun dan ini adalah yang paling tinggi sejak bulan Februari. Hal yang demikian kerana, kebanyakan rakyat mereka masih belum menerima dos kedua vaksin, dan juga varian Delta yang merupakan varian utama di negara tersebut mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding varian sebelum ini. Namun begitu, kadar kematian dilaporkan rendah di negara tersebut oleh kerana 80% rakyatnya telah menerima dos pertama vaksin. Ini menunjukkan dengan pengambilan vaksin, ia dapat mengurangkan keparahan dan kadar kematian jika seseorang itu dijangkiti virus COVID-19.

Konklusinya, kita masih lagi berada di tahap kritikal memandangkan setiap hari dilaporkan lebih 5,000 kes baru COVID-19, dan kes kematian juga masih tinggi. Kita berharap dengan mematuhi SOP dan semakin ramai rakyat Malaysia yang sudah menerima dos kedua vaksin, kita dapat mengurangkan kes harian dan kadar kematian akibat wabak ini.

Kita juga berharap pemberian vaksin dilakukan dengan meluas dan pantas ke seluruh negara agar imuniti kelompok dapat dicapai. Seterusnya rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa sebelum pandemik ini berlaku.

 

Dr Razreen Amim Rusli

razreen@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

44  −    =  34