COVID-19: Pembantu klinik bergejala cetus kluster terbaharu di Sabah

 COVID-19: Pembantu klinik bergejala cetus kluster terbaharu di Sabah

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Seorang pembantu klinik yang dikesan bergejala mencetuskan kluster terbaharu di Sabah yang dikenali sebagai Kluster Hamparan 2, Kinabatangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster penularan tempat kerja itu melibatkan sebuah ladang sawit di Mukim Sukau.

“Kes indeks adalah pembantu klinik, wanita berusia 24 tahun di ladang tersebut yang disahkan positif COVID-19 pada 18 Ogos, setelah bergejala sejak 12 Ogos. Beliau telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.

“Daripada 77 kontak yang disaring, terdapat 20 lagi kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 21 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri Sabah berkata sebanyak 3,487 kes positif baharu telah dilaporkan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 134,517 kes.

Tiga daerah yang mencatatkan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (609 kes), Penampang (450 kes) diikuti Sandakan (367 kes).

Sementara itu, sebanyak 26 kes kematian dilaporkan, iaitu 11 kes di Tawau, sembilan kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Putatan manakala Pitas, Papar, dan Keningau masing-masing satu kes.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  −  11  =