COVID-19: KPM akan tutup sekolah jika kecekapan operasi terjejas

 COVID-19: KPM akan tutup sekolah jika kecekapan operasi terjejas

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (dua, kiri) bermesra dengan guru-guru selepas menyampaikan peruntukan penyelanggaran sekolah pada majlis penyerahan kunci SMK Tasek Gelugor hari ini

TASEK GELUGOR, 3 April — Sekolah yang melaporkan kes COVID-19 hanya akan ditutup jika sebahagian besar guru perlu dikuarantin sehingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata keputusan penutupan juga mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

Sekiranya PKD menasihatkan agar kelas tertentu, tingkat tertentu atau bangunan tertentu ditutup, maka penutupan hanya melibatkan bahagian yang berkenaan, katanya.

“Bagaimanapun, jika kami mendapati operasi sekolah boleh terjejas disebabkan sebahagian besar guru dikuarantin, maka kementerian akan melihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilapor menggesa agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes COVID-19.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Radzi berkata  kementerian itu memberi penekanan  besar terhadap infrastruktur sekolah dengan memastikan penyelenggaraan dijalankan secara berterusan.

“Infrastruktur yang baik merupakan asas yang  utama supaya anak-anak boleh belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif, serta membolehkan para guru menyampaikan pembelajaran dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui  isu infrastruktur di sekolah sukar untuk diselesaikan sepenuhnya kerana kementerian perlu memberi perhatian kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7