• Monday, 21 June 2021, 3:56 am

COVID-19 jejas pendapatan pengusaha gong di Matunggong

 COVID-19 jejas pendapatan pengusaha gong di Matunggong

SEPANGGAR, 11 Jun — Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak hujung tahun 2019 turut menjejaskan pendapatan pengusaha gong dalam kalangan etnik pribumi, Rungus di Matunggong, dekat Kudat di utara Sabah.

Pembuat gong di Kampung Sumangkap, Matunggong, Rohana Mokuut,

Bagi pembuat gong di Kampung Sumangkap, Matunggong, Rohana Mokuut, jika dulu mereka mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 sehingga 5,000 sebulan, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula PKP 1.0, tahun lalu, pendapatan keluarganya susut sehingga sukar memperoleh RM1,000 sebulan.

Katanya, mereka yang beralih kepada tempahan secara dalam talian berhadapan pelbagai kerenah pelanggan termasuk yang membatalkan tempahan saat akhir kerana kesukaran penghantaran produk itu akibat PKP.

Beliau berkata, sejak PKP 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun lalu, belum ada tempahan daripada pelanggan diperoleh sedangkan mereka perlu menggunakan modal untuk meneruskan pembuatan gong di bengkel milik keluarganya sejak 31 tahun lalu.

“Sebelum PKP 1.0 kami bukan saja mendapat tempahan daripada masyarakat majmuk di Sabah, Sarawak dan Bunei, malah pelancong asing seperti dari Eropah, Amerika Syarkat dan Korea Selatan juga membeli produk kami untuk dijadikan cenderamata.

“Sehubungan itu, kami harap kerajaan tidak meminggirkan pengusaha gong daripada menikmati Bantuan Rakyat Prihatin (BPR) untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup, berikutan penurunan pendapatan,” katanya kepada Wacana.my.

Rohana, ibu kepada lima orang anak berusia antara sembilan hingga 27 tahun mengusahakan pembuatan gong bersama suaminya, Darwin Kunama serta dibantu empat anak mereka.

Pembuat gong cuba beralih kepada tempahan secara dalam talian berhadapan pelbagai kerenah pelanggan termasuk yang membatalkan tempahan saat akhir kerana kesukaran penghantaran produk itu akibat PKP.

Seni pembuatan gong menggunakan dua jenis bahan berbeza iaitu plat zink dan tembaga yang dijual antara RM300 hingga RM1,500 sebiji mengikut saiz dan kualiti.

Gong juga mempunyai pelbagai nama mengikut saiz iaitu, diameter berukuran 60 sentimeter (CM) dikenali gong, diameter 40 CM (canang) dan kurang 20 CM pula dinamakan `kulintangan’ (gong kecil).

Permainan muzik tradisi yang dikenali ‘orkestra gong’ merangkumi empat hingga enam gong iaitu masing-masing sepasang gong, canang, seunit `kulintangan (tujuh hingga sembilan gong bersaiz kecil) dan gendang.

Bagi sesetengah masyarakat di Sabah, selain sebagai alat muzik, gong juga digunakan sebagai hantaran sesebuah perkahwinan, dan dimainkan ketika majlis perkahwinan, menyambut kelahiran anak dan majlis kesyukuran seperti tuaian padi yang banyak dan pendapatan keluarga meningkat.

Jadi, tidak hairanlah pembuatan gong sangat penting dalam kehidupan hampir semua masyarakat bukan saja etnik pribumi malah kaum Cina di Negeri di Bawah Bayu.

Sementara itu, Darwin berkata kenangan yang tidak dapat dilupakannya apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membeli gong daripadanya sekitar tahun 2002.

“Tempahan dibuat oleh pegawai khas beliau dan kedua-dua gong berkenaan dibeli pada harga RM25,000. Itulah harga gong termahal saya pernah jual dan saya percaya paling berkualiti dalam keseluruhan lebih 100,000 unit gong pernah saya hasilkan,” katanya.

Mohd Azrone Sarabatin

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *