COVID-19 cetus nostalgia cinta model pesawat

 COVID-19 cetus nostalgia cinta model pesawat

(@Facebook Haris Hussain)

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Hikmah di sebalik pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong masyarakat mencari hobi baharu mahupun menghidupkan semula cinta terhadap hobi lama ataupun sedia ada.

Bagi Norazlan Md Yusof, 42, dalam tempoh penuh yang sukar ini memberikan beliau semangat yang baharu serta komitmen yang tinggi terhadap hobi memasang kit jet pejuang model berskala yang diminatinya sejak kecil.

Norazlan Md Yusof, memegang salah satu kit jet pejuang miliknya

“Minat memasang pesawat ini bermula ketika saya berumur 10 tahun. Ketika itu, setiap kali melancong ke luar negara bersama keluarga, syarikat penerbangan akan memberikan sebuah replika pesawat plastik yang mudah dipasang. Jadi bagi menghilangkan kebosanan berbelas jam di dalam kapal terbang, saya akan memasang replika tersebut sehingga siap.

“Hobi ini memerlukan disiplin, fokus serta ketelitian yang tinggi. Apabila selesai memasangnya, ia memberikan satu rasa puas dan gembira yang tak dapat dijelaskan. Saya pernah ‘tawar hati’ dengan hobi ini dan beralih kepada kereta mainan kawalan jarak jauh semasa di kolej sebelum menghidupkan semula cinta pada hobi model berskala pada tahun 2000,” katanya kepada Wacana.my.

Norazlan kini mempunyai lebih 100 jenis kapal jet pejuang di dalam koleksinya. Anak beliau, Adam Haikal, 14, turut mewarisi minat yang sama, cuma dia lebih minat memasang model Gundam.

(@Facebook Haris Hussain)

Beliau yang mempunyai syarikat agensi pelancongan tersendiri, turut berkata tempoh masa antara dua minggu hingga sebulan diperlukan untuk menghasilkan sebuah replika jet pejuang moden, bergantung kepada saiz.

Tempoh yang lama diperlukan bagi menyiapkan sebuah replika yang memerlukan proses gam, menggosok menggunakan kertas pasir serta proses akhir mengecat.

“Saya telah membelanjakan kira-kira RM4,000 bagi menampung hobi ini termasuk kos peralatan seperti berus udara, pisau pengukir, dan gam.

“Selain itu, saya turut mengambil upah memasang kit jet pejuang daripada rakan-rakan collector atau yang mempunyai hobi sama dengan saya. Bukan semua orang mempunyai masa atau minat untuk memasang kit ini,” katanya.

Mereka menubuhkan sebuah kelab hobi di laman media sosial Facebook bernama Society of Nubis. Kelab yang pada awalnya hanya mempunyai 20 ahli, kini mencecah lebih 1,000 orang.

Pengasas kelab ini adalah seorang rakan modeler kami iaitu Razman Rahmad dan nama tersebut merupakan idea senior modeler iaitu Ir Ahmad Zaidi Md Din.

Kelab ini diwujudkan atas minat terhadap pemodelan skala dan bertujuan untuk mendorong pemodel baru dan lama untuk membina model skala dengan cara yang paling menyeronokkan.

Sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, kelab ini sentiasa menganjurkan aktiviti sekurang-kurangnya sebulan sekali di mana ahli akan memasang model skala secara berkumpulan. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat merapatkan silaturrahim antara ahli.

Norazlan berharap hobi dan minat terhadap pemasangan model berskala ini akan terus dapat perhatian rakyat Malaysia.

Antara koleksi kit jet pejuang yang dimiliki Norazlan

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

73  +    =  79