Covid-19 bawa sekolah baru

 Covid-19 bawa sekolah baru
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

SEJAK dilanda pandemik COVID-19 setahun lalu, ibarat menjelmanya satu era iaitu kita semua memasuki sekolah yang baharu. Kita diibaratkan sebagai pelajar yang baru hendak memulakan pelajaran baru di dalam sekolah ini sedangkan kurikulum, buku malah gurunya belum disediakan.

Bagaimanapun, kembali kepada pandemik penyakit ini, kita mendapat   beberapa panduan yang telah dijelmakan oleh kalangan pengkaji untuk pengisian sekolah ini. Oleh itu, pada peringkat awalnya kita mengambil beberapa kesimpulan seperti berikut:

  1. Virus penyakit ini tidak diketahui, kenapa menjelma dan bagaimana ia  merebak, berapa banyak yang berleluasa, menyerang di dalam badan atau bagaimana. Semuanya merupakan teka-teki.
  2. Kerana virus ini tidak dikenali maka ramai penyelidik yang mengkajinya, dan memberi panduan supaya cara perpindahan virus ini disekat, jaga jarak badan, pakai pelitup muka, cucu tangan selalu dan akhirnya berkurung di rumah.

Tiba-tiba seorang tua dari kampung, secara bersahaja memberi tahu: “Saya telah lama mengetahui hal ini dan telah lama mengamalkan hal ini mengikut yang saya belajar dari ajaran agama saya iaitu berpandu kepada perkara yang berikut – mengenai makanan dan minuman, yang diistilahkan halal dan haram selain juga mengenai menjaga kebersihan.

  1. Binatang yang halal dimakan hendaklah disembelih supaya darahnya keluar (kecuali makanan dari hidupan air umumnya seperti ikan, ketam, kerang dan sebagainya).
  2. Minuman juga terdapat yang halal dan haram diminum. Jadi, minum yang halal sahaja.
  3. Bahan makanan dan minuman yang memabukkan tidak dihalalkan.
  4. Dalam keadaan darurat untuk menjaga nyawa, makanan dan minuman yang haram boleh digunakan sekadar menjaga nyawa.

Mengenai kebersihan, dia mengatakan seperti berikut:

  1. Sehari semalam sekurang-kurangnya bersihkan anggota lahir sebanyak lima kali, yang dinamakan wuduk untuk menunaikan solah.
  2. Air yang digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib mestilah bersih, malah wajib pula dilakukan sebagai syarat untuk solat.
  3. Untuk sah wuduk, selain dari menggunakan air yang bersih pastikan kuku, dipotong supaya air sampai ke kulit serta tanggalkan sebarang kekotoran yang lekat di badan.

Oleh kerana kita tidak nampak kuman dan virus itu, maka kita percaya bahawa di sekeliling kita ada makhluk jahat yang sering memberikan inspirasi jahat untuk kita amalkan, janganlah ikut bisikan itu, sama seperti kita menjauhkan virus COVID-19 dengan SOP yang tertentu.

Inilah sekolah baru dan subjek baru yang dipelajari dalam masa kecemasan ini.

CINTAKAN NEGARA DAN BANGSA TUNTUTAN ISLAM

Biasanya dalam upacara dan majlis rasmi negara, rakyat menyanyikan lagu kebangsaan – Negaraku. Lagu itu sendiri melambangkan kesatuan rakyat, kedaulatan Raja serta perlembagaan yang berpaksikan budaya dan agama negara. Inilah lambang kerakyatan dan negara yang sepadu, walaupun berlainan agama dan kaum.

Nilai cintakan tanah air tempat tumpah darah, adalah merupakan tuntutan agama yang ditunjukkan oleh  Rasulullah SAW dalam sejarah hidupnya. Kita boleh meneliti peristiwa sejarah iaitu ketika Baginda akan berhijrah meninggalkan kota Makkah menuju ke Madinah maka satu semangat cintakan negara tempat tumpah darahnya telah menjelma begitu hebat sekali di dalam diri Baginda. Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah membisikkan rasa cintanya kepada kota Makkah, tanah tempat tumpah darah Baginda itu dengan penuh perasaan ikhlas iaitu ketika akan meninggalkan kota Makkah, Baginda mengungkapkan kata-kata berikut:

“Aduhai,  alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Makkah), dan alangkah kasihnya daku kepadamu, seandainya tidak kerana  diusir  kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya  tidak akan kupilih  kediamanku selain daripadamu.”

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka Rasulullah SAW pun terus melangkah keluar. Ini  dilakukannya sebagai menunaikan satu perintah Allah SWT, yang diantaranya terdapat di dalam firman Allah SWT:

“Wahai hamba-hambaKu yang beriman, sesungguhnya bumiKu adalah amat luas, maka sembahlah Aku sahaja (Ayat 56 Surah Al-Ankabut).

Ketika inilah juga turunnya ayat al-Quran yang berbunyi:

Dan katakanlah: Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong (Surah Al-Isra’, ayat 80).

Rasulullah SAW telah menginspirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara adalah merupakan satu daripada tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Inilah sebenarnya pendidikan dan sunnah Allah SWT yang diperlengkapkan kepada Rasuluhha SAW sebagai pemimpin besar negara dan manusia yang amat rumit, dan Baginda berjaya memahami dan menghayatinya.

Dalam dunia moden ketika ini, bekalan hikmah dan panduan ini amat penting bagi kita. Ini terutamanya ketika pemikiran dan nilai manusia moden mulai disaluti dengan cabaran-cabaran cemar yang membentuk sikap anti peradaban dan nilai murni manusia.

Rakyat haruslah cintakan negaranya, perlembagaan dan budayanya. Rakyat mestilah hidup sepadu dan Bersatu selain mencari perdamaian dan kesejahteraan.

Penulis adalah  Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

40  −    =  35