Contohi keperibadian Nabi Muhammad

 Contohi keperibadian Nabi Muhammad
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

RASULULLAH SAW sentiasa terlebih dahulu menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan orang. Dan, bila bersalaman maka Baginda tidak akan menarik tangannya terlebih dahulu sebelum orang itu melepaskan tangannya.

Sesiapa yang menemui Baginda Nabi secara kebetulan, pasti akan memuja dan menghormatinya. Malah sesiapa saja yang bergaul dan bercampur dengan Baginda nescaya akan mencintainya. Baginda mempunyai keperibadian yang lemah lembut dari asalnya. Baginda bukanlah seorang yang kasar atau memandang rendah terhadap sesiapa sahaja.

Seandainya Baginda memandang seseorang maka Baginda akan memberikan perhatian sepenuhnya dengan seluruh wajahnya. Sekiranya seorang memanggilnya maka Baginda tidak hanya memalingkan mukanya sahaja, malah akan memberikan perhatian dengan seluruh jasadnya.

Ketika Baginda akan pergi berjumpa dengan seseorang, maka Baginda akan pergi menunggu di satu tempat yang berhampiran dengan orang itu. Baginda juga meminta supaya orang lain juga mengikuti caranya. Ketika Baginda mengambil tempat di sebelah seseorang, maka Baginda akan memberikan sepenuh perhatiannya kepada teman itu, sehingga kelihatan bahawa orang lain tidak menerima seluruh perhatian darinya sebegitu rupa. Baginda juga tidak menentukan tempat duduk yang tertentu untuk rakan-rakannya. Baginda sentiasa berlaku adil dan adil untuk semua kawannya, perbezaan di antara mereka hanyalah berdasarkan ketaatan dan penghambaan kepada Tuhan.

Segala sesuatu yang dilakukan oleh Baginda adalah bersifat sederhana, tanpa berlebihan atau sebaliknya. Baginda tidak pernah mengkritik akan makanan dan minuman yang telah disediakan untuknya, malah tidaklah pula memberikan pujian yang melampaui batasan.

Ketika berada di rumah, Baginda akan membahagikan masanya kepada tiga perkara.  iaitu untuk Allah, untuk keluarga dan untuk dirinya sendiri. Baginda akan bersama-sama dalam menjalankan urusan rumah tangganya, malah ada ketikanya Baginda akan membaiki kasutnya dan menyapu lantai. Baginda berpakaian kemas dan sentiasa berbau harum.

Selepas selesai menunaikan solah subuh, Baginda lebih mengutamakan untuk terus duduk di dalam masjid untuk membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT hingga mata hari terbit. Selepas tengah malam, Baginda bersolat tahajud dan solat malam yang lainnya.

Baginda mengisytiharkan bahawa diri Baginda dan keluarganya tidak berhak menerima sebarang harta yang diberikan orang sebagai zakat. Baginda amat mengambil berat tentang hal ini, sehingga Baginda tidak akan melantik sebarang ahli keluarganya sebagai pemungut zakat untuk orang awam.

Rumah Baginda merupakan sebuah pondok yang dindingnya terbuat dari tanah lumpur, dan beratapkan daun kurma yang ditutupi dengan kulit unta.

Ibrah coronavirus terhadap manusia

Pengakhiran 2019 dan penjelmaan ambang 2020, kita dilanda dua jenis penyakit merbahaya, mengancam kesejahteraan hidup dan logik pemikiran. Ia boleh juga disifatkan sebagai dua dunia perubahan yang berlaku agak mendadak. Pertama, penyakit lama yang telah kita hadapi tetapi yang terakhir ini agak serius dan merbahaya iaitu penyakit dunia politik. Kedua, penyakit dunia bencana yang melanda alam seluruhnya, sebagai penyakit global yang mengancam nyawa jutaan manusia, iaitu COVID-19.

Di dunia politik, manusia boleh bersatu atau bercerai. Membunuh melalui lidah atau bom. Keupayaan manusia pula, lebih berbentuk kaum, bangsa, malah sesama agama dan kepercayaan, dan yang paling merbahaya lagi ialah yang berbentuk taksub partisan, prasangka, persepsi, simplistik dan hipokrit, ideologi dan blok.

Bagaimana pun, dunia bencana dan penyakit global, COVID-19, lebih bersifat universal dan global, virus yang menjalar, bermula dari sebuah negara ke seluruh dunia. Ia tidak dapat disekat secara total oleh manusia kerana manusia tidak punya kuasa sebagai kaum, agama, negara kaya atau miskin. Semuanya terancam, tanpa mengira bangsa dan kaum, negara dan benua, mundur, membangun atau maju kerana penyakit itu tidak memilih jenis manusia dan sifatnya malah lebih merupakan ancaman nyawa, terutamanya ke atas makhluk yang bernama manusia.

Dunia politik tidak punya satu ubat atau vaksin yang sama. Masing-masing mempunyai penawar dan racunnya, tabiat dan tradisinya, ubat dan racunnya. Namun yang paling utama yang boleh dikatakan racun atau ubatnya ialah wang dan benda, kuasa dan hawa nafsu.

Dunia kedua, merebaknya COVID-19, nampaknya manusia hanya mempunyai kuasa yang terhad. Bagi penyakit baharu, ia memerlukan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dan mungkin hanya dapat diatasi setelah penyakit itu memakan korban ribuan atau jutaan orang. Maka ketika itu, mungkin telah ditemui vaksinnya. Oleh itu manusia seluruh dunia menjadi satu, berikhtiar mencari ubat yang mustajab, pakatan bersama, tolong menolong secara global, bantu membantu kepandaian dan kewangan. Itu pun akhirnya timbul satu saja akibat yang tidak dapat ditahan manusia, iaitu antara mati atau hidup. Ini kerana manusia tak punya daya untuk menahan mati atau meneruskan hidup. Maka dalam menghadapi dunia kedua ini, manusia menjadi lebih rasional, permusuhan politik dan daerah ada waktu dan ketikanya  dapat diredakan. Pada lahirnya kelihatan dunia agak bersatu pada awal merebaknya penyakit ini iaitu negara maju dan mundur, dapat bekerjasama, berkongsi ilmu dan usaha, musuh menjadi kawan, sehinggakan Amerika Syarikat membantu musuhnya yang mengalami bencana besar seperti Iran.

Dalam dua dunia dan penyelesaiannya ini, kita di negara kecil dan sederhana ini, memilih jalan yang mana? Bekerjasama dan berfikiran tamadun, atau menjadi terlalu individualistik dan materialistik? Dan yang percayakan agama, berpandukan ajaran Tuhan atau hawa nafsu dunia?

Kita, orang Islam dan mukmin, sekurang-kurangnya di Malaysia, ada ikhtiar bersepadu antara kemahiran ilmu wahyu dan akal manusia dalam usaha mengurangkan jangkitan penyakit ini. Kita mohon Allah SWT mencegah penyakit dari terus menjalar, membaca Qunut nazilah dalam solat di surau dan masjid serta solat hajat. Pada masa sama, Kementerian Kesihatan memainkan peranan yang besar dalam usaha menyedarkan rakyat tentang usaha dan ikhtiar menjauhkan jangkitan.  Pihak media menjelaskan tentang perkembangan dan ancaman penyakit ini. Pihak pertahanan awam dan kumpulan tenaga di hadapan pula berusaha memerangi virus penyakit ini, malah kewajipan umat Islam di masjid juga telah dikecualikan pada awalnya sebagai usaha mengurangkan merbahaya ancaman musuh manusia ini.

Kita berjaya meyakinkan umat yang percayakan agama, bahawa ‘dunia’ tak berkuasa melawan takdir Allah. Namun dunia haruslah berikhtiar dan bersatu mengurangkan darurat dan menghindir serangan makhluk halus yang merbahaya ini. Dan, orang Islam sendiri haruslah berpegang kepada takdir Allah, tetapi takdir juga memerlukan usaha dan ikhtiar manusia dengan segala daya upaya para umatnya. Iman dan akidah kita meminta supaya kita menggunakan segala pancaindera dan kekuatan fizikal serta spiritual untuk menjaga diri kita dari azab dunia dan akhirat. Maka, azab dunia nampaknya tidak dapat disekat-sekat dengan mudah tanpa ikhtiar dan usaha manusia sendiri untuk melawan segala mara bahaya dengan izin Allah SWT.

Hikmah Tuhan amat besar. Ibrah coronavirus dan rahsianya amat banyak untuk dijadikan pelajaran dan iktibar, malah menciptakan ’perubahan baharu’ dalam sejarah negara dan tradisi kita ke arah yang lebih praktikal dan nyata. Bertindaklah secara rasional, berfikiran waras, tanpa emosi melulu dan taksub melampau. Jadilah diri kita benar-benar sebagai anak Adam yang ditentukan Allah SWT supaya menjadi Khalifah di dunia ini, dalam perjalanan menuju alam akhirat, termasuk dalam dunia politik, ekonomi, pendidikam, rumah tangga dan seterusnya sementara kita masih hidup di dunia ini.

Penulis ialah Ahli Lembaga  Pengarah Institut Integriti Malaysia.                                                                            

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  7