#WAAW: Aman Nasim cuba tembusi pasaran Indonesia?

 #WAAW: Aman Nasim cuba tembusi pasaran Indonesia?

Oleh Farhana Ab Rahman

Mengorak langkah dalam bidang seni pada tahun 2012, nama Aman Nassim bukanlah nama asing dalam bidang lakonan.

Terbaharu, Aman muncul dalam lagu Cinta Terakhir hasil ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor dan dirinya sendiri.

Menariknya, lagu terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music itu turut dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Kisah Cinta Rumi yang bakal bersiaran di Slot Lestary, TV3, pada 24 April ini.

Lebih teruja, Aman diberikan kesempatan untuk bekerjasama dengan komposer yang menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan.

“Lagu ini sudah siap dirakam pada penghujung 2019 dan perancangannya mahu dilancarkan di Indonesia tahun lalu. Tapi, disebab penularan Covid-19 memang tidak boleh ke sana. Jadi, buat permulaan lagu ini akan menghiasi drama sebagai lagu tema.

“Dalam masa sama, pihak syarikat masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman Rans Entertainment milik selebriti Raffi Ahmad untuk mengedarkan lagu ini di sana. Selain itu, pembikinan video muzik (MV) lagu ini juga membabitkan produksi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Semua pelakon terbabit adalah dari sana dengan gabungan dua produksi.

“MV ini sepatutnya dibuat sebelum Ramadan, tapi tak berjaya sebab pelakon utama iaitu Dimas Ahmad disahkan positif Covid-19, jadi tergendala. Insya Allah, selepas dia sembuh baharulah penggambaran MV diteruskan semula,” kata Aman.

Menurut Aman, dia bertuah apabila lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama sekali gus dapat mempromosikan lagu itu sebelum ia dibawa masuk ke pasaran muzik Indonesia.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Cinta Terakhir mengisahkan cinta terakhir antara pasangan kekasih yang berjanji sehidup semati.

“Lirik lagu ini pun memaparkan percintaan individu dari dua negara. Ia adalah inspirasi daripada pengalaman rakan saya. Pasangan itu berjumpa kali pertama dan terus jatuh cinta.

“Itu pun selepas mereka baharu putus cinta dengan pasangan masing-masing. Jadi mereka nak ‘move on’ dengan kisah lama dengan buka cinta kisah baharu sehingga tahap nak berkahwin. Kiranya, lagu ini adalah ‘happy ending’.

“Lagu ini bergenre pop balada dan memang bunyi lagu Indonesia. Bunyi lagu ini pun macam lagu Afgan. Apabila dapat bekerjasama dengan komposer dari negara luar, saya dapat belajar sesuatu yang baharu. Berdasarkan kajian saya, muzik dangdut masih nombor satu dan kedua adalah pop balada,” katanya.

Video lirik lagu Cinta Terakhir akan ditayangkan di saluran YouTube COF Music pada 21 April ini dan video muzik rasmi pula bakal dilancarkan di saluran YouTube COF Music Indonesia selepas hari raya Aidilfitri.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  3  =