• Monday, 21 June 2021, 3:53 am

Chelsea ‘Raja Eropah’ baru, City kempunan trofi di Liga Juara-Juara

 Chelsea ‘Raja Eropah’ baru, City kempunan trofi di Liga Juara-Juara

Porto, 30 Mei – Pemain muda Jerman, Kai Havertz menjaringkan gol kemenangan Chelsea untuk menewaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, sekali gus membuatkan City kempunan trofi prestij Eropah itu.

Havertz menerima hantaran cantik dari Mason Mount untuk meledakkan gol pada minit ke-42 dan gol pertamanya di saingan Eropah bersama kelab berkenaan, sekali gus memberi laluan Chelsea raih kejayaan kedua Liga Juara-Juara.

Kesengsaraan City tercermin dalam tangisan kapten mereka, Kevin De Bruyne, ketika dia dipaksa keluar pada 59 minit selepas bertembung dengan pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger.

Rudiger menyerlah di bahagian pertahanan yang menyerap segala cubaan oleh City selepas kecederaan pasangan pertahanannya, Thiago Silva pada minit ke-38.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola kini dalam ‘kerusi panas’ sama ada dia suka atau tidak, kerana masa depannya di kelab itu ditentukan oleh keputusan aksi final itu.

Trofi Liga Juara-Juara adalah trofi yang paling diidamkan pemilik City, Sheikh Mansour sejak mengambil alih kelab itu pada 2008, dan telah membelanjakan sekitar 1.7 bilion Euro untuk pembelian pemain sahaja.

Dalam aksi final itu, pemain Chelsea N’golo Kante, terbukti menjadi perhatian sepanjang final itu apabila menghasilkan salah satu persembahan terbaik di bahagian tengah. Selain menjulang trofi, beliau juga memenangi anugerah Pemain Terbaik pada final berkenaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *