Ceroboh Hutan Simpan Papai untuk melombong bijih besi

 Ceroboh Hutan Simpan Papai untuk melombong bijih besi

Kawasan Hutan Simpan Papai yang diceroboh untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram.

PEKAN, 18 Okt — Unit Penguat kuasa Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan kegiatan melombong bijih besi secara haram dalam Hutan Simpan Papai, di sini kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa yang diketuai Pengawas Hutan Ahmad Yunus Mohd Jama menemui jengkaut berwarna kuning yang digunakan sindiket terbabit menjalankan aktiviti tanpa lesen itu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, kegiatan melombong secara haram itu berlaku di Kompatmen lapan Hutan Simpan Papai.

Menurutnya, kegiatan melombong di kawasan terbabit dipercayai masih baharu dilakukan oleh beberapa individu yang mempunyai rangkaian dengan pihak lain, mereka juga mahir dalam menentukan kedudukan bahan galian terbabit.

Katanya, beberapa lubang ditemui dalam kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar, beberapa longgok dipercayai bijih besi turut ditemui di situ yang sedia untuk dipindahkan.

“Kawasan lombong berkenaan terletak berhampiran kampung kecil Orang Asli yang telah ditinggalkan, jalan perhubungan yang baik menjadi kelebihan kegiatan melombong secara haram aktif di situ.

“Sindiket berkenaan dipercayai tidak melakukan kerja melombong sejak beberapa hari disebabkan jengkaut yang digunakan untuk kegiatan itu rosak, mereka dalam proses membaiki jentera berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan melombong secara haram dalam Hutan Simpan Papai, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Nor Azirim berkata, pihaknya bertindak menyita jengkaut dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum sebarang tindakan dibuat selepas ini.

Katanya, ketika rondaan cegah pencerobohan hutan simpan di daerah ini Unit Penguat kuasa Pahang Timur turut membuat semakan di kawasan lesen pembalakan di Hutan Simpan Papai, Pejabat Renjer Maran yang turut sama telah bertindak menahan semantara lesen tersebut dan notis menahan sementara telah diletakkan di rumah kongsi pekerja.

“Kita akan mempergiatkan lagi rondaan di beberapa hutan simpan di negeri ini yang sebelum ini menjadi tumpuan kegiatan membawa keluar hasil hutan secara haram, balak dan bijih besi menjadi buruan pihak terbabit.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada masyarakat dengan memberi maklumat sekiranya mengetahui terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram di negeri ini,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

92  −  87  =