CEO MDEC Surina Shukri letak jawatan

 CEO MDEC Surina Shukri letak jawatan

CEO MDEC, Surina Shukri

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Lembaga Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan Surina Shukri melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa pada hujung bulan ini.

MDEC dalam satu kenyataan, berkata Surina melepaskan jawatan berkenaan bagi menumpukan perhatian kepada perkara lain yang menarik minatnya.

Surina yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MDEC pada 16 Januari 2019 dan telah dinamakan sebagai salah seorang daripada figura berpengaruh dalam senarai World’s 50 Most Influential People Revolutionising Governance in the Agile 50 oleh Apolitical and the World Economic Forum’s Global Future Council on Agile Governance pada tahun 2020.

Beliau telah mengawal selia kejayaan misi ‘Reinvent’ dan menerusi pelaksanaannya, ia telah menjadikan MDEC sebagai sebuah agensi yang cekap, efisien dan profesional serta beroperasi dengan penuh integriti, menyampaikan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Surina ke atas sumbangan beliau dalam menjayakan misi ‘Reinvent’ MDEC dan komitmen beliau yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap agenda transformasi negara.

“Lembaga Pengarah MDEC mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.

Sementara itu, Surina berkata beliau amat berbesar hati dapat menerajui MDEC dan ekonomi digital negara ke hadapan menerusi perubahan yang tidak dijangka dan cabaran yang signifikan selama dua tahun dan tujuh bulan beliau di MDEC.

“Saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh MDEC ketika ini, dengan memfokus kepada pengukuhan Malaysia yang tercinta ini sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Saya yakin pasukan MDEC akan terus melakar kejayaan di masa hadapan untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan demi rakyat dan negara,” katanya

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *