• Sunday, 20 June 2021, 8:35 am

Cadangan tukar kerajaan jadikan negara kian parah

 Cadangan tukar kerajaan jadikan negara kian parah

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Pas Johor menyifatkan cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus berhasrat mengubah kerajaan dalam keadaan tidak menentu ketika ini hanya akan menjadikan negara semakin parah.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, rakyat akan menjadi mangsa keadaan disebabkan kerakusan nafsu politik pihak tertentu.

“Akibatnya, segala usaha yang dilakukan untuk negara selama ini bagi mengatasi pandemik COVID-19 dalam memulihkan sektor kesihatan dan mengatasi masalah ekonomi negara akan menjadi sia-sia.

“Maka, bersama-sama kita dalam menyokong kerajaan sedia ada untuk terus mentadbir dalam memerangi pandemik COVID-19 hingga mencapai kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau berharap individu atau pihak yang cuba mengambil alih tampuk pemerintahan dalam suasana pandemik COVID-19 di negara ini supaya dihalang.

Abdul Hadi mendakwa pihak berkenaan masih tidak berhenti daripada terus berpolitik dan sangat bernafsu untuk mengambil alih pentadbiran.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, keadaan semasa ketika ini sangat menguji kecekalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negara.

“Daripada sinilah menambahkan keazaman Pas untuk istiqomah bersama-sama kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Inilah waktunya untuk menyumbang bakti dan jasa kepada rakyat dan negara yang sangat-sangat memerlukan keprihatinan pemerintah,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *