Cadangan penjualan saham Bumiputera akan diperjelas

 Cadangan penjualan saham Bumiputera akan diperjelas

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai cadangan penjualan saham atau syarikat Bumiputera yang hanya ditawarkan serta dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Saya sedar ada kekeliruan mengenainya dan kita perlu menjelaskan perkara itu. Penjelasan itu akan kita lakukan pada masa yang sesuai,” katanya dalam program bual bicara Money Matters terbitan stesen TV3 di sini, pada Sabtu.

Mustapa menjelaskan, pemilikan saham Bumiputera itu merangkumi ekuiti dimiliki oleh individu dan institusi dengan mandat Bumiputera yang keseluruhannya berjumlah kira-kira 17.2 peratus daripada pemilikan saham pada 2019.

“Apa yang kita maksudkan dalam cadangan itu ialah institusi berkenaan termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tabung Haji dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), hanya boleh menjual saham dimiliki kepada institusi, konsortium atau individu Bumiputera,” katanya.

Ditanya punca golongan Bumiputera masih ketinggalan dalam pemilikan ekuiti biarpun selepas 50 tahun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), beliau menegaskan, dasar itu terbukti berjaya terutama dalam mentransformasi golongan Bumiputera dalam bidang pendidikan walaupun kejayaan itu tidak ketara dalam sektor ekonomi.

Katanya, antara alasan pemilikan ekuiti Bumiputera hanya bertahan pada kira-kira 16-17 peratus sejak beberapa tahun lalu adalah faktor termasuk keadaan Bumiputera berpendapatan rendah, mempunyai pekerjaan dengan gaji kecil serta kemahiran teknikal yang rendah.

“Inilah alasannya atau tujuan dasar kita untuk meningkatkan peratusan pemilikan saham Bumiputera. Kita juga sedaya-upaya mahu memastikan bahawa saham dalam tangan Bumiputera iaitu yang dimiliki oleh institusi dengan mandat Bumiputera, sebanyak mungkin akan terus kekal dalam pegangan Bumiputera dan hanya boleh dijual kepada institusi, konsortium atau pun individu Bumiputera,” katanya.

Isnin lalu, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan.

Perdana Menteri berkata, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera juga akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  21  =  31