• Sunday, 20 June 2021, 9:40 am

Cabaran seluruh dunia dalam pengurusan COVID-19

 Cabaran seluruh dunia dalam pengurusan COVID-19

Oleh Iqhram Ahmad

 

WALAUPUN sudah lebih setahun dunia dilanda pandemik COVID-19, kerajaan-kerajaan di seluruh dunia sehingga kini terus giat mencari jalan paling berkesan bagi mengurus dan menamatkan penularan wabak itu.

Apa yang membimbangkan mengenai COVID-19 ialah ia mudah untuk dijangkiti. Menurut kajian di Institut Teknologi Georgia di Amerika, dengan hanya tidak menjaga jarak antara satu sama lain, seseorang itu mempunyai 30 peratus peluang untuk dijangkiti wabak itu.

Sehingga kini, negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis masih mempunyai bilangan kes jangkitan harian yang tinggi, malah mencecah lima angka sehari. Di Amerika, jumlah keseluruhan kes jangkitan yang direkodkan adalah lebih 33 juta dengan jumlah kematian mencecah 600,000 orang.

Sementara itu di Jepun, peningkatan jumlah kes jangkitan, terutamanya di Tokyo, memaksa kerajaan negara itu melaksanakan perintah darurat selain mendorong rakyatnya sama-sama memprotes penganjuran Sukan Olimpik yang akan berlangsung Julai ini.

Perdana Menterinya, Yoshihide Suga mahu bertindak sehabis mungkin bagi memastikan janjinya memberikan 1 juta suntikan sehari menjelang pertengahan Jun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penemuan varian baharu yang lebih bahaya dan mempunyai kadar penyebaran lebih tinggi menjadi penyumbang utama peningkatan kes jangkitan di seluruh dunia.

Varian terbaharu seperti yang ditemui varian India, Afrika Selatan dan Brazil telah menyebabkan wabak ini lebih mudah  merebak ke rantau berdekatan.

Jika diteliti, wabak ini telah melumpuh dan mengkucar-kacirkan sistem perubatan di seluruh dunia sehingga menyebabkan kapasiti berlebihan di hospital seluruh dunia.

Contoh di India, kes jangkitan COVID-19 yang menaik mendadak menyebabakan hospitalnya kehabisan bekalan oksigen. Kerajaan negara itu telah mengumumkan 300,000 kematian akibat pandemik itu, walaupun beberapa pihak mengatakan angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi dari itu.

 

Usaha Malaysia dalam mengurus Covid

Malaysia, seperti negara lain, masih meneruskan usaha untuk mencari cara pengurusan paling efektif — mengambil pendekatan yang mengimbangkan nyawa dan kehidupan rakyat.  Dengan arahan kawalan pergerakan bersasar yang dilaksanakan, kerajaan Malaysia cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa tanpa mengorbankan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan pelbagai tindakan dan inisiatif bagi mengekang penularan wabak ini selain menyalurkan bantuan dan ‘ganti rugi’ kepada mereka yang terjejas teruk dengan pandemik ini.

Selain itu, kebenaran pengeluaran duit Akaun 1 daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank turut dilihat sebagai ‘pelampung kecemasan’ yang amat diperlukan rakyat yang kian tenggelam dalam kesempitan akibat wabak ini.

Pengenalan prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan sejak bermulanya pandemik ini bertujuan untuk bertindak sebagai garis panduan kepada pergerakan rakyat.

Apa yang rakyat tidak tahu, kandungan SOP dan PKP ini kerap bertukar atau dikemas kini bukan kerana suka-suka, tetapi dibuat mengikut keadaan semasa agar dapat mengimbang semula ekonomi negara dengan aspek keselamatan dan kesihatan rakyat. Walaupun ramai yang mahukan ‘total lockdown’, kerajaan tetap dengan pendirian tidak mahu mengambil jalan ekstrim yang boleh membunuh sektor ekonomi dan menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan seterusnya kemakmuran generasi masa hadapan.

 

Program vaksin negara

Apabila berita mengenai vaksin mula bermain di media seluruh dunia, Malaysia menjadi antara negara terawal menempah slot vaksin menerusi Akses Global Vaksin COVID-19 (Covax).

Melalui Covax, Malaysia perolehi 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui pembelian awal dari lima pengeluar vaksin. Lima vaksin itu adalah Pfizer-BioNTech, AstraZaneca, Sinovac, Sputnik V dan Cansino.

Antara lima vaksin ini, hanya Cansino yang memerlukan satu dos, manakala yang lain perlu dua dos. Seterusnya, kerajaan akan memberi vaksin yang diperoleh itu  kepada rakyat secara berperingkat melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kini Fasa 2 PICK di mana kerjasama kerajaan dengan beberapa hospital swasta di seluruh negara dilihat dapat mempercepatkan proses penyuntikan vaksin.

Setakat ini, seramai 1,662,273 orang telah divaksin dan Malaysia telah menetapkan sasaran Febuari 2022 untuk menyelesaikan pemberian vaksin COVID-19.

Selain itu, Malaysia turut bekerjasama dengan China dalam pembuatan vaksin tersendiri yang kini berada dalam fasa ketiga percubaan klinikal, melibatkan 3,000 subjek. Dengan adanya bekalan vaksin ini, usaha mencapai ‘herd immunity’ di kalangan rakyat dijangka dapat dicapai dengan lebih cepat.

 

Kes masih naik? Siapa yang patut dipersalahkan?

Kenaikan jumlah kes harian COVID-19 yang mencecah angka 7,289 semalam patut menyentap kesedaran dan membuka mata semua pihak.

Tidak dapat dinafikan, varian terbaharu di sebalik wabak ini menjadi satu faktor mengapa kes jangkitan semakin meluas. Tetapi masih ramai yang tidak tahu, antara faktor utama wabak ini boleh tersebar adalah kita sendiri.

Dalam sosial media, kita boleh menyaksikan kerajaan dikecam setiap hari mengenai pengurusan memerangi wabak ini tetapi bagaimana pula dengan mereka yang melanggar SOP dan mendakwa COVID-19 sekadar teori konspirasi? Bagaimana dengan kita yang ‘balik kampung beramai-ramai’, yang beraya di pusat membeli belah dan dengan selamba berkumpul tanpa sebarang rasa bersalah, walaupun kerajaan merayu setiap hari supaya duduk di rumah kecuali ada keperluan sebenar? Kita beriya-iya mengutuk golongan VIP dan selebriti yang tak ikut SOP, menuntut supaya mereka diambil tindakan, tetapi tidak langsung tidak merasa bersalah apabila sendiri yang melanggar perintah.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita berpuluh ribu individu yang mendaftar tetapi tidak menghadiri temu janji yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin. Itu belum lagi mereka yang bermati-matian menafikan pendapat dan fakta para saintis dan pakar perubatan tetapi begitu yakin dengan auta video Youtube yang entah datang dari mana! Mereka lebih percaya teori konspirasi bodoh kononnya terdapat cip mikro di dalam setiap suntikan vaksin daripada penjelasan mudah fungsi vaksin itu sendiri. Ada pula yang terus menerus menjatuhkan hukum haram ke atas vaksin, walaupun JAKIM sendiri telah mengeluarkan fatwa yang jelas mengenai hukumnya yang halal. Tambahan lagi ada diantara kita yang merasa diri kebal, dan hanya sedar diri itu sebenarnya bebal apabila diri atau famili disorong masuk ke wad kecemasan untuk menghadapi kesakitan tanpa sesiapa di sisi.

Jangan kita contohi rakyat sesetengah negara luar seperti Amerika, di mana sebahagian besar populasinya yang tetap berdegil dan sombong telah menyumbang kepada bilangan kes jangkitan dan kematian yang tertinggi di dunia.

Memang, angka kes kita makin meningkat. Gelombang yang menghentam kita kali ini amat menakutkan dan sebetulnya, semua pihak termasuk kerajaan, agensi penguatkuasaan, pemilik perniagaan, majikan dan juga kita rakyat, perlu memainkan peranan lebih besar dalam usaha mematikan wabak ini, sebelum ia mematikan ribuan ibu, ayah, suami, isteri, anak-anak dan sanak saudara kita.

Tetapi ianya hanya boleh berlaku jika kita betul-betul sedar, bahawa COVID-19 bukan cerita yang direka-reka bak drama TV. Ini realiti!

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *