Cabaran kepimpinan zaman baharu dalam menangani krisis

 Cabaran kepimpinan zaman baharu dalam menangani krisis

BANYAK negara di dalam dunia pada hari ini mengalami krisis kepemimpinan yang tertentu. Krisis ini bermula dari manusia sendiri yang menjadi pemimpin bagi sesuatu umat itu. Malahan terdapat banyak juga negara Islam yang mengalami krisis ini, walau pun segelintir sahaja kepimpinan negara berkenaan yang terlibat dengan krisis ini secara serius. Hal ini perlu disedari dan dipelajari oleh umat Islam sendiri bagaimanakah akan mengatasi krisis ini dengan sebaik-baiknya.

Ketika Allah SWT memartabatkan manusia sebagai Khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini, maka pemilihan ini merupakan satu ketentuan daripada Allah SWT akan keperluan dan kepentingan pemimpin bagi manusia keseluruhannya.

Malah Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ‘Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya’.

Dengan itu manusia haruslah sedar akan kemampuannya dalam semua aspek kehidupannya. Ketika disebutkan proses memanusiakan manusia, maka yang dimaksudkan ialah manusia itu haruslah berada di peringkat kesempurnaan fitrahnya, walaupun diakui bahawa peringkat manusia itu adalah mempunyai banyak tahapnya. Kesempurnaan yang kita maksudkan ialah manusia tidak seharusnya berada di peringkat melampau atau ekstrem di dalam apa-apa saja bidang tugas dan kemahuannya, malah akan sentiasa memelihara keseimbangannya, agar dengan itu manusia akan mencapai  kesempurnaan dengan disiplin diri dan kebijaksanaan yang tinggi. Sebab itulah Allah melantik manusia menjadi Khalifah-Nya bukan malaikat atau makhluk lain.

Teknologi yang dulunya mengambil masa puluhan atau ratusan tahun untuk dibangunkan pada masa lampau, sekarang ini hanya mengambil masa antara tiga dan lima tahun sahaja. Kajian yang mendalam tentang sejarah manusia dan perubahan yang dialaminya telahpun membuktikan bahawa pembangunan dunia dan manusia ini menghadapi proses kematangan yang semakin cepat.

Inilah contohnya bagaimanakah peralatan audio-visual membawa kepada peralatan teknologi canggih seperti internet yang telah sampai keperkembangan yang kemuncak dalam masa yang singkat. Radio dan TV mengambil masa dalam jangka yang lama untuk sampai kepada orang ramai di seluruh dunia, tetapi internet hanya mengambil masa beberapa tahun tahun sahaja untuk digunakan oleh seluruh penduduk dunia ini dengan segala keupayaan dan kapasitinya seperti yang kita temui sekarang. Inilah maknanya bahawa perubahan masa mampu mempercepatkan minda dan intelek manusia untuk menguasai sebarang bidang ilmu.

Sebelum Nabi kita diutuskan untuk membawa ajaran Islam yang lengkap dibawakan melalui kitab suci al-Quran, maka kita-kitab yang terdahulu telah diambil ringan malah dipindah dan disalahertikan oleh umat-umat yang terdahulu, maka ajaran Allah disia-siakan, sedangkan kitab suci dan perutusan itu telah diutuskan begitu lama sekali dalam kalangan umat-umat yang dahulu.

Hal ini berbeza dengan kedatangan kitab suci al-Quran yang datangnya amat lengkap dan padat dengan ilmu serta hidayah untuk manusia yang baru, lalu ajarannya telah dapat berkembang dan dihayati oleh manusia dalam masa yang singkat sahaja, seperti yang telah dibuktikan di dalam sejarah perkembangan agama Islam sehingga ke zaman ini.

Inilah hikmat doa Nabi Ibrahim supaya Allah mengutuskan seorang Rasul kepada umat Arab jahiliyyah dari kalangan bangsa mereka sendiri, yang dapat membaca dan menerangkan ayat-ayat kebesaran Allah, mengajar kandungan dan rahsia al-Quran dan akhlak serta hikmat bijaksananya, dan membersihkan hati nurani dalaman mereka, maka doanya itu telah dimakbulkan Allah dengan mengutus Nabi Muhammad SAW dengan berbekalkan ajaran lengkap dari al-Quran.

Ternyata di sini bahawa perkembangan akal dan roh manusia menjadi semakin matang dan maju dengan peredaran zaman dan perubahan masa, maka kaedah dakwah para Rasul dan Nabi sebelum Nabi kita Muhammad adalah berbeza dari manusia umat Muhammad.

Oleh itu, usaha bersepadu dalam menangani krisis akhlak dan kegawatan perilaku serta hati nurani generasi baru sekarang haruslah diorientasikan semula terutamanya dalam membawa mereka kembali kepada latihan dan ajaran agama kita sendiri, lebih-lebih lagi dalam merawat masalah teknostress, egosentrik, individualistik dan materialistik, serta segala penyakit hati dan jiwa manusia ini yang melibatkan para ahli psikologi, antropologi, kesihatan dan para pendakwah serta pendidik umumnya yang berhikmah, bijaksana dan berakhlak mulia.

“Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya, dan (katakanlah kepada mereka) bahawa sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai 1,000 tahun dari yang kamu hitung.” (Al-Hajj (22:47)

 “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal dalam kalangan mereka selama 950 tahun, akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedangkan mereka berkeadaan zalim.” (Al-Ankabut (29:14)

“Tuhan mentadbirkan makhluk-Nya  dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik ke pengetahuan-Nya pada suatu masa selama 1,000 tahun mengikut kebiasaan hitungan kamu.” (Al-Sajdah (32:5)

Kepemimpinan manusia akhir-akhir ini haruslah mempelajari dan mengkaji bagaimanakah peredaran zaman dapat dipergunakan dengan penuh kebijaksanaan pada masa kini, termasuk di negara kita yang telah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  72  =  73