Cabaran Getir Terhadap Kepimpinan

 Cabaran Getir Terhadap Kepimpinan

Oleh Tan Sri Dr.Ismail Ibrahim

Kepimpinan adalah mekanisme yang merupakan proses dan perlaksanaan kepimpinan untuk melahirkan kelompok manusia dan individu yang dapat memantapkan sikap dan pandangan mereka dari segi mental, fizikal, kejiwaan dan sebagainya.

Kepimpinan Islam ialah terjemahan perlakuan pemimpin dan pengikutnya dalam menjawab persoalan bagaimanakah ajaran Islam secara keseluruhannya dapat dihayati dan dipraktikkan di dalam masyarakat manusia.

Kepimpinan Islam merupakan gabungan daripada pemimpin formal dan tidak formal, yang dalam konteks kepimpinan negara disebut sebagai gabungan antara umarak dan ulamak. Hal ini dapat di fahami dari hadith yang berikut:

Terdapat dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan menjadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat juga akan menjadi rosak, mereka itu ialah umarak dan ulamak (Hadis riwayat Ibn Abdul Barr)

Kepimpinan di dalam Islam merupakan amanah Allah SWT, juga merupakan kontrak sosial, psikologi dan seluruh urus tadbir di antara pemerintahan dan rakyat. Pemimpin berkewajipan memandu pengikutnya, melindungi, dan menguruskan urusan mereka dengan adil dan saksama menurut lunas-lunas yang diredai Allah SWT.

Pemimpin haruslah mendidik dirinya terlebeh dahulu, sebelum mendidik para pengikutnya, memperaktikkan segala sesuatu yang di dakwahkannya kepada pengikutnya, meningkatkan moral dan akhlaknya terlebeh dahulu sebelum memperbetulkan orang lain. Rakyat menjadi rosak akibat daripada rosaknya pemerintah, dan pemerintah menjadi rosak akibat daripada kehadiran ulamak yang buruk (al-suu’) Imam Al-Ghazali Ihya’ Ulumuddin

Sumber memetik satu Hadis tentang komponan kekuatan sebuah negara yang bermaksud  Kekuatan negara adalah atas empat perkara : Pertamanya dengan ilmu para ulamak, kedua dengan keadilan para umarak, ketiga dengan kemurahan para hartawan, dan keempat dengan doa orang fakir.

Pemimpin merupakan individu atau sekelompok ketua yang memimpin keseluruhan rakyat daripada keadaan yang lemah atau rosak, kepada keadaan yang kuat dan maju, dan dalam konteks holistik  Islam, ialah memimpin umat manusia daripada kehancuran dan maksiat kepada keredaan Allah dan kesejahtera mereka mengikut lunas-lunas dan nilai-nilai universal Islam.

Islam menggariskan banyak prinsip bagi kepemimpinan Islam. Diantaranya ialah untuk para pemimpin yang seharusnya mempunyai sifat-sifat berikut :

  1. Kuat dalam akidah
  2. Adil dan Jujur
  3. Berpandangan luas dan tidak fanatik golongan
  4. Mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan golongan
  5. Mampu mewujudkan kesatuan dan kerjasama rakyat
  6. Bersikap terbuka dalam menerima idea, saranan dan keritikan
  7. Pemaaf dan memiliki sikap toleransi yang besar
  8. Berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang yang dipimpinnya
  9. Bertanggungjawab, amanah, telus dan tidak mementingkan diri sendiri

Kegagalan kepimpinan akan berlaku ketika para pemimpin tidak mempunyai ciri-ciri di atas, iaitu ketika pemimpin lebeh bersikap invidualistik, materialistik, taksub dan fanatik kepada golongan, tidak berilmu, tidak amanah dan sebagainya.

Kepimpinan Islam akan menghadapi kegagalan ketika terhakisnya keupayaan untuk menentang aliran melampau ikhtilaf mazhab, ideologi pemikiran liberal tentang agama, golongan yang menafikan ijmak ulamak, golongan polarisasi dan partisan melampau, dan kejahilan tentang agama dari semua golongan dan peringkat umur umat Islam sendiri.

Kepimpinan Islam juga menghadapi cabaran yang besar dalam arus penjajahan Barat ke atas dunia Islam, peroses globalisasi, dominasi teknologi maklumat dan komunikasi ke atas dunia moden, dasar langit terbuka, dan kebergantungan pemimpin dunia Islam kepada kuasa besar dunia dan Eropah untuk kepentingan diri sendiri.

Marilah kita renungkan dua buah kenyataan di bawah. Pertama tentang “musuh di dalam selimut”, iaitu yang terdiri daripada segelintir ketua negara Islam sendiri yang mempunyai kepentingan, dan kedua tentang musuh sebenar Islam dan umatnya.

Terdapat pemikir Arab yang mendakwa “Bahawa orang-orang yang kurang maklumat tentang lanskap politik  rantau Timur Tengah sering melihat rantau tersebut hanya terdiri dari dua kem yang besar, negara-negara Arab di satu pihak, dan Israel di satu pihak yang lain. Tetapi realitinya adalah amat berbeza, Israel sebenarnya tidak keseorangan. Disamping rakan karib biasanya, Amerika Syarikat, Perancis, British dan sekutu setianya yang lain, Israel telah mendapat sokongan tersembunyi dari beberapa  buah negara Arab sendiri” (The Great Arab Betrayal That Sinks)

Seorang pemimpin negara di rantau Asia, pernah menyatakan “Konflik bersenjata akan mengalami kemenangan atau kekalahan di Timur Tengah. Kalau para mujahidin itu menang di sana, maka saya di sini juga akan mengalami kesusahan, kerana hal itu akan membangkitkan keyakinan kepada semua mujahidin itu. Kekentalan para Islamist ini adalah lebeh kuat daripada komunisme. Komunis tidak pernah mempunyai keyakinan diantara satu dengan lain merentasi sempadan negara, tetapi para Islamist ini mempunyai keyakinan yang amat tinggi : anda adalah wira untuk Islam, demikian juga saya, kita bersumpah akan sama-sama berjuang” (TIME Magazine 2 Disember 2008)

Umat Islam dan para pemimpinnya haruslah memahami dua mesej yang tersebut ini dan mencuba untuk memahami isu yang dibangkitkan sebagai pembuka mata umat Islam sendiri dalam memastikan kebenaran atau kepalsuannya, dan berusaha bagi menyelesaikan masalah tersebut, bukan bertujuan untuk bermusuhan dengan orang lain atau mempertahankan diri sendiri secara melulu, tanpa hikmah.

Berdasarkan hal inilah, kita harus mempunyai pemimpin yang berwibawa, berilmu, berhikmah dan mempunyai sifat yang ikhlas, jujur dan bersemangat kental untuk agama dan umatnya, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Para intelek Islam mungkin kurang menjalankan penyelidikan untuk memeriksa kekuatan dan kelemahan umat Islam sendiri, malah yang menjalankan kajian begini pun mungkin hanya menemuai pelbagai masalah, namun tidak berusaha untuk mencari penyelesaian bagi masalah yang di temuinya itu., selain dari hanya menyalahkan pihak lain semata-mata.

Pada zaman perkembangan pesat ilmu dan teknologi sekarang ini, masa untuk menuding jari kepada pihak lain kerana kelemahan diri sendiri  telah lama berlalu. Pepatah Arab mengatakan: Seorang pemuda yang sebenarnya bukanlah yang sering mendabik dada mengatakan “bahawa bapa ku begitu begini….namun pejuang yang sebenarnya ialah yang mengatakan “Inilah aku….”

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  −    =  42