Buta selepas bedah usus

 Buta selepas bedah usus

JOHOR BAHRU, 3 Mei – Hidup seorang pengawal keselamatan kini dalam kegelapan apabila tidak dapat melihat selepas menjalani pembedahan usus di sebuah hospital kerajaan di sini, dua tahun lalu.

Lebih menusuk perasaan apabila usus Norideazaher Mohamed, 46, tidak dimasukkan semula dan beliau kini bergantung dengan pek najis di perutnya untuk membuang air besar dan kecil.

Norideazaher berkata, selepas menjalani pembedahan itu, beliau hanya terlantar di atas katil kerana tidak berdaya untuk berjalan apatah lagi mencari rezeki.

“Nasib malang menimpa bermula apabila saya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana mengadu sakit perut selepas balik kerja.

“Doktor didakwa tidak melakukan pemeriksaan terperinci terus mahu menjalankan pembedahan pada perut tanpa membenarkan saya melihat filem x-ray perut,” katanya di rumahnya di Batu 4, Skudai Kiri, di sini ketika menerima kunjungan Timbalan Pengerusi Permata Baiduri Malaysia (Johor), Nuradlina Saniman yang menyampaikan barang keperluan asas, bantal dan wang saku, kelmarin.

Selepas menjalani pembedahan perut itu, deria penglihatannya pula hilang dan ditahan di hospital itu hampir tiga bulan sebelum dibenarkan pulang tanpa menerima rawatan susulan memasukkan semula ususnya yang terkeluar itu.

“Saya ada mohon Perkeso untuk mendapat bantuan dan pegawai mereka ada datang menjenguk, namun tiada perkembangan hingga kini.

“Selain itu, saya juga tidak menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Baitulmal kerana tidak boleh datang ke pejabat agensi terbabit,” ujarnya.

Norideazahar kini hantar terlantar selepas mengalami pembedahan usus yang turut mengakibatkan matanya buta

Akibat hanya mampu terlantar di atas katil dan beliau perlu diuruskan oleh orang lain bagi menukar pek najis. Isterinya pula membawa anak-anak dan telah meninggalkannya beberapa bulan kemudian.

Norideazaher kini dijaga ibunya, 83, dan hanya bergantung dengan pendapatan tidak tetap seorang adiknya yang tinggal bersama.

“Saya perlu membeli pek najis untuk usus selain susu khas yang memerlukan perbelanjaan yang agak besar dalam keadaan saya tiada pendapatan menekan hidup saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nuradlina berkata, pihaknya akan membawa kes Norideazaher kepada pihak berwajib untuk susulan dan mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Permata Baiduri amat mengambil berat nasib dialami Noreideazaher dan kini menjalankan infak bakul kasih Ramadan untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Justeru, pihaknya mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membantu Norideazaher dan golongan memerlukan dengan menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank pertubuhan itu bernombor 551128630934.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

82  −    =  78