Buskers Terengganu syukur boleh kembali tumpu aktiviti busking

 Buskers Terengganu syukur boleh kembali tumpu aktiviti busking

Kumpulan Threepeace Buskers bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan semula aktiviti busking dengan pematuhan SOP

KUALA TERENGGANU, 7 Mac — Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kebanyakan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan apabila aktiviti busking disekat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini.

Ada yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, penghantar makanan dan menjual kuih muih pada waktu siang manakala pada sebelah malam pula, ada antara mereka membuat persembahan ‘busking’ secara atas talian untuk menjana pendapatan.

Tekad luar biasa itu terhasil daripada sifat enggan mudah mengalah dan terus menggunakan peluang sedia ada demi kelangsungan hidup tanpa melupakan minat untuk terus berkarya.

Di Terengganu, rata-rata buskers yang dihubungi Bernama di sini melahirkan rasa syukur dan lega apabila kerajaan memberi kelonggaran yang membolehkan mereka kembali dengan aktiviti busking bermula 26 Feb lepas, malah mereka telah merancang melakukan pelbagai persembahan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Seorang pemuzik jalanan, Iswandee Ismail, 43 berkata beliau menjual tauhu begedil yang dibuat isterinya untuk pasaran di sekitar Bukit Payong, Marang bagi menyara keluarga setelah aktiviti busking tidak dibenarkan sepanjang PKP lepas.

“Hanya tauhu begedil sumber pendapatan saya untuk menampung keperluan hidup kerana tiada kemahiran lain selain bermain muzik. Walau pendapatan tidak banyak seperti yang diperolehi ketika aktiviti busking, namun saya reda kerana ramai lagi yang hadapi masalah lebih teruk di luar sana.

“Saya dan ahli kumpulan Threepeace Buskers bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan semula aktiviti busking dengan pematuhan SOP ditetapkan. Moga ia beri sinar baharu buat kami untuk terus aktif dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Bekas pemain bass kumpulan muzik terkenal, Flop Poppy itu berpindah ke Terengganu pada tahun 2015 setelah tamat kontrak dan kini aktif memenuhi undangan persembahan untuk syarikat korporat, majlis perkahwinan serta di restoran dan kafe sekitar Terengganu.

Ahmad Aiman Matin Raduan, 32, pemuzik dari kumpulan Dua Akustika berkata beliau terpaksa menggunakan wang simpanannya selama ini untuk menampung keperluan isteri dan seorang anaknya sepanjang PKP.

“Memang ada pemuzik yang putus asa untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ini, namun tidak bagi saya kerana hanya ini sahaja bakat dan kemahiran yang ada menjadi sumber rezeki sejak 11 tahun lepas… selagi boleh bertahan, saya cuba ikhtiar cari pendapatan melalui muzik.

“Saya tetap buat persembahan di restoran sekitar Kuala Terengganu walaupun hanya dibenarkan setakat pukul 10 malam sahaja… waktu begini tidak boleh terlalu memilih, walaupun ‘job’ tidak banyak, sekurang-kurangnya masih ada peluang cari rezeki untuk kelangsungan hidup,” katanya yang memanfaatkan masa terluang untuk berlatih dan meningkatkan lagi kemahiran muzik sepanjang PKP.

Pemilik pusat perniagaan Uptown Kontena-Dapo Pata, Affandi Hamzah pula berkata langkah kerajaan membenarkan aktiviti busking dan pergerakan rentas daerah baru-baru ini turut membantu ‘menghidupkan’ semula aktiviti pelancongan di kawasan itu, berbanding sebelum ini.

“Secara tidak langsung ia melegakan golongan penggiat industri kreatif yang ramai di Dapo Pata seperti persembahan seni jalanan, busking, melukis mural dan fotografi ‘outdoor’ untuk kembali mencari rezeki di sini.

“The Shore, iaitu kumpulan busker yang sentiasa menghiburkan pengunjung di Dapo Pata ini juga berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu yang lebih positif terhadap pembangunan semula sektor pelancongan selepas ini dan membenarkan pergerakan rentas negeri pula dalam masa terdekat,” katanya.

Affandi berkata sebagai pemilik pusat perniagaan itu, beliau telah cuba menyediakan platform terbaik untuk golongan buskers dan penggiat industri kreatif, namun ia akan ‘lebih sempurna’ sekiranya pihak kerajaan turut sama membantu menerusi pelbagai medium.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  2  =