Buruh asing perlahankan pertumbuhan ekonomi

 Buruh asing perlahankan pertumbuhan ekonomi
Oleh Dr Zulkiply Omar

 

BURUH asing memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Kehadiran mereka menjadi suatu norma. Tidak keterlaluan jika dikatakan tanpa mereka, ekonomi Malaysia lumpuh. Kehadiran mereka mempermudahkan pelbagai aktiviti  kehidupan rakyat.

Boleh dikatakan semua sektor ekonomi bergantung kepada buruh asing, terutama kategori tidak mahir. Paling ketara, sektor pembinaan akan lumpuh tanpa mereka. Ini akan menggugat pembinaan infrastruktur yang penting untuk pembangunan ekonomi. Tanpa pembangunan infrastruktur pembangunan, ekonomi terbantut.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan turut meraih khidmat mereka walaupun mungkin tidak sepenting sektor pembinaan. Mungkin sektor pembinaan dikaitkan dengan pekerjaan yang kotor dan bahaya sekali gus ramai rakyat Malaysia tidak gemar melakukannya. Ini boleh menjustifikasikan kehadiran mereka. Namun bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan, kurang jelas mengapa mereka diperlukan. Malah, sektor pertanian sedikit sebanyak turut bergantung kepada buruh asing sedangkan sektor ini secara tradisi menjadi penyedia peluang pekerjaan terakhir masyarakat desa jika mereka gagal mendapat pekerjaan di bandar.

Penglibatan buruh asing dalam sektor ekonomi tersebut di atas secara langsung terlibat dalam pembangunan ekonomi. Namun, mereka juga terlibat secara tidak langsung. Contoh, penglibatan pekerja asing sebagai pembantu rumah adalah kebiasaan pada masa ini. Mereka turut terlibat menjaga anak-anak majikan terutama pasangan suami isteri bekerja. Sumbangan mereka untuk tujuan ini juga penting membantu pertumbuhan ekonomi. Apa tidaknya, tanpa mereka mungkin kalangan wanita terpaksa berkorban menjaga rumahtangga dan anak-anak. Maka kadar penglibatan buruh wanita akan berkurangan. Ini akan memberi implikasi kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada 2019 adalah 55.6% berbanding 45.9% pada 1985.

Berdasarkan senario ini boleh dirumuskan, buruh asing memberi sumbangan positif terhadap pembangunan sosioekonomi negara. Maka itu kehadiran mereka patut dialu-alukan. Cuma mungkin ada sedikit sumbangan negatif dari sudut sosial iaitu peningkatan kadar jenayah yang dipercayai dipelopori warga asing namun faktor ini rata-ratanya terkawal. Kebanyakan penjenayah warga asing itu pula bukan golongan pekerja. Keuntungan dari kehadiran pekerja asing jauh lebih tinggi dari kerugian kesan dari jenayah yang dilakukan warga asing.

Adakah naratif kepentingan buruh asing seperti di atas tepat? Atau adakah lain-lain kesan negatif terhadap sosioekonomi yang tersembunyi? Mari kita lihat kupasan seterusnya.

Pada permulaan era perindustrian sekitar penghujung 1980-an dan 1990-an, sektor pembuatan menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak untuk rakyat Malaysia. Ketika itu masyarakat luar bandar hidup dalam kemiskinan dan bergantung kepada sektor pertanian majoritinya secara tidak formal. Ramai yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dengan pertumbuhan kilang di bandar yang rata-rata dipelopori pelabur asing, buruh dari sektor luar bandar berhijrah ke bandar untuk bekerja. Ini selari dengan model pembangunan ekonomi yang turut dialami kebanyakan negara maju yang dikenali sebagai model Lewis.

Mengikut Lewis, pelaburan meningkat dengan mengambil faedah kewujudan buruh dari sektor pertanian yang banyak dan murah. Urbanisasi berlaku dengan kadar yang tinggi kerana masyarakat luar bandar melihat ini sebagai peluang untuk mereka keluar dari kemiskinan. Pelabur mendapat untung yang banyak menggalakkan mereka meningkatkan lagi pelaburan, lantas menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi berkembang pantas. Model sama juga dilalui China sebaik sahaja menyertai ekonomi pasaran bebas. Pelaburan tumbuh pantas di sana kerana mereka mempunyai buruh pertanian yang murah di luar bandar dengan begitu ramai.

Kunci kepada proses transformasi struktur ekonomi dari pertanian sebagai sektor utama kepada sektor pembuatan adalah peningkatan produktiviti. Sektor luar bandar yang dikuasai buruh tidak mahir mempunyai produktiviti yang rendah. Perubahan struktur itu secara langsung menyumbang peningkatan produktiviti dan itu yang menyebabkan ekonomi tumbuh dengan pantas. Pada masa sama berdasarkan model Lewis, marginal produk buruh sektor pertanian turut meningkat. Dengan kata lain, produktiviti sektor pertanian turut meningkat. Maka ekonomi mendapat keuntungan berganda.

Mari kita lihat apa yang berlaku sejak kebelakangan ini. Produktiviti sektor pembuatan tumbuh perlahan kerana perubahan struktur dalam sektor pembuatan tidak berlaku dengan efektif. Sektor pembuatan diharap berhijrah ke arah berintensif teknologi. Ini kerana situasi seperti di peringkat awal perindustrian seperti diterangkan oleh model Lewis, tidak lagi wujud. Buruh murah sektor pertanian tidak lagi berlebihan. Masyarakat luar bandar sudah berpelajaran tinggi dan memerlukan pekerjaan berkemahiran tinggi. Pekerjaan seperti itu cuma akan wujud sekiranya sektor pembuatan meningkatkan teknologi pengeluaran mereka.

Apa yang berlaku di China, yakni sektor pembuatan berkembang dengan pesat kerana mereka berterusan mampu memperoleh buruh yang banyak dari luar bandar. Keadaan sama tidak berlaku di Malaysia. Namun sektor pembuatan masih mengekalkan model yang sama kerana mereka masih boleh mengambil buruh murah dari luar bandar tetapi dari luar negara.

Malah apa yang berlaku di dalam sektor pertanian memberi tamparan berganda kepada potensi pertumbuhan ekonomi negara. Lewis menjangkakan transformasi struktur dari pertanian ke pembuatan turut meningkatkan produktiviti sektor pertanian seperti diterangkan di atas. Namun ini tidak berlaku dengan kadar yang diharapkan kerana penghijrahan buruh murah dari luar negara. Dengan kata lain, sektor pertanian melambatkan proses penyerapan teknologi kerana kehadiran buruh asing.

Sektor perkhidmatan kini adalah penyumbang terbesar kepada pekerjaan negara, iaitu lebih kurang dua pertiga. Malangnya sektor ini turut dikuasai industri yang memberi nilai tambah yang kecil seperti peruncitan. Ramai juga pekerja asing yang terlibat.

Hakikatnya, sumbangan pekerja asing adalah penting untuk pembangunan mana-mana negara. Namun kuncinya adalah ia mesti ke arah peningkatan produktiviti. Banyak negara maju bergantung kepada pekerja asing yang berkepakaran tinggi. Ini seterusnya menggalakkan budaya inovasi. Kehadiran pekerja asing tidak berkepakaran yang ramai perlu dielakkan. Ini melainkan untuk sektor strategik atau sektor yang tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah di sebaliknya. Bank Dunia melaporkan pada 2010 Malaysia termasuk dalam 10 negara utama dunia berkongsi kepakaran terendah oleh pekerja asing dari Indonesia iaitu 0.7% sahaja.  Iaitu, cuma 0.7 peratus pekerja asing dari Indonesia terdiri dari pekerja berkepakaran tinggi. Kanada dan Amerika Syarikat adalah negara paling banyak menerima kepakaran negara asing. Umpamanya, Kanada berkongsi kepakaran asing dari Rusia sebanyak 80 peratus.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +    =  11