Bursa Malaysia keluarkan arahan kepada Serba Dinamik

 Bursa Malaysia keluarkan arahan kepada Serba Dinamik

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia Securities) telah mengeluarkan arahan kepada Serba Dinamik Holdings Bhd berhubung status laporan Kajian Semula Khas Bebas (SIR) syarikat tersebut.

Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan berkata, arahan yang dikeluarkan pada Jumaat adalah untuk Serba Dinamik membuat pengumuman mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta pada 26 Oktober, 2021 dan membuat pengumuman mengenai arahan Bursa Securities itu dengan segera.

Bursa Malaysia Securities mengambil maklum bahawa penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta pada 30 September, 2021 mengenai SIR telah disampaikan kepada tiga daripada empat pengarah bebas bukan eksekutif pada 21 Oktober, 2021.

Sehubungan itu, Bursa Malaysia Securities mendapati setakat ini, Serba Dinamik masih belum mengumumkan penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta menurut Perenggan 9.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) Bursa Malaysia Securities Bhd,” katanya.

Bursa Malaysia Securities berkata, arahan itu juga memerlukan penangguhan dagangan sekuriti Serba Dinamik pada sesi dagangan berikutnya selepas tarikh akhir arahan tersebut sekiranya tidak mematuhi arahan berkenaan.

Penangguhan itu akan kekal sehingga pengumuman dibuat Serba Dinamik mengikut arahan dan Perenggan 9.35A daripada MMLR mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta.

Arahan dikeluarkan ini adalah untuk memastikan maklumat penting dikeluarkan tepat pada waktunya dan bagi memberi penjelasan kepada pasaran, katanya.

-Bernama

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *