• Monday, 21 June 2021, 2:59 am

Bumi kini hadapi kepupusan terbesar ke-6

 Bumi kini hadapi kepupusan terbesar ke-6

SELEPAS 10,000 tahun, bumi bakal menghadapi satu lagi peristiwa kepupusan terbesar yang membawa kepada kepupusan flora dan fauna di planet ini pada kadar yang pantas.

Memetik laporan The Conversation, kalangan saintis telah mendefinasikan kepupusan besar-besaran dengan kira-kira tiga perempat spesies sedia ada yang akan mati dalam jangka waktu geologi yang pendek, iaitu kurang dari 2.8 juta tahun.

Pada masa ini, manusia mendapati diri mereka berada di peringkat awal kepupusan massa terbaharu, yang bergerak jauh lebih cepat daripada yang lain.

Sejak 1970, populasi flora dan fauna di dunia telah menurun pada kadar 68 peratus. Pada masa yang sama lebih dari 35,000 spesies dianggap terancam kepupusan, menurut Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). Pada abad ke-20 sahaja, sebanyak 543 vertebrata darat telah pupus.

Antara kepupusan terbesar yang pernah disaksikan bumi adalah Kepupusan Ordovician-Silurian yang berlaku kira-kira 440 juta tahun lalu; Kepupusan Denovian Akhir kira-kira 365 juta tahun lalu; dan Kepupusan Permian-Triassic kira-kira 253 juta tahun lalu.

Kepupusan besar ini telah menyebabkan lebih 100 jenis kehidupan, flora dan fauna, pupus serta hanya meninggalkan fosil sebagai bukti kewujudannya.

 

Adakah manusia patut dipersalahkan?

Sejak permulaan revolusi industri yang menjadi satu faktor pencemaran pada 1760, manusia telah menjadi penyumbang utama kepada krisis alam sekitar bumi.

Dari pelepasan gas rumah hijau dan penipisan ozon hingga kepada penebangan hutan, pembuangan plastik ke laut dan perdagangan haiwan haram, sehingga kini manusia secara aktifnya telah melenyapkan beberapa spesies kehidupan serta mengancam banyak lagi di dunia ini.

Walaupun ada pihak berpendapat, perubahan iklim dan kepupusan spesies haiwan adalah sebahagian dari semula jadi kehidupan, lima kepupusan besar-besaran berlaku tanpa kehadiran manusia. Namun, perbezaannya adalah kepantasan kepupusan besar-besaran ini berlaku.

Catatan fosil bukan sahaja memberitahu jenis makhluk yang pernah wujud sebelum manusia, malah memberitahu berapa lama spesies itu dapat hidup secara semula jadi sebelum pupus tanpa gangguan manusia.

Pada masa ini, aktiviti manusia menyebabkan kepupusan kehidupan flora dan fauna dunia dengan kadar lebih cepat daripada yang sepatutnya. Khususnya, satu ancaman langsung terbesar bagi haiwan terancam adalah perdagangan haiwan haram.

Menurut kajian jurnal Science Advances, beberapa spesies yang hilang dari Bumi sepatutnya dapat bertahan selama 800 hingga 10,000 tahun tanpa gangguan aktiviti manusia.

 

Pemulihan bumi dari segi pandemik

Pandemik COVID-19 telah memberikan masa serta ruang pernafasan yang diperlukan alam semula jadi untuk kembali sedia kala.

Menurut kajian NASA, kawalan pergerakan yang diumumkan kerajaan seluruh dunia telah menyebabkan penurunan pelepasan gas karbon sebanyak 17 peratus dan penurunan kadar nitrogen oksida sebanyak 20 peratus.

Penurunan pelepasan gas merbahaya ini telah menyebabkan laluan air menjadi lebih bersih, dan haiwan dilihat menjelajah ke kota-kota kecil di seluruh dunia.

Walaupun ianya kelihatan seperti kebangkitan semula jadi yang luar biasa untuk planet tercinta, ia boleh dikatakan untuk sementara waktu sahaja kerana apabila peradaban manusia kembali normal, kepupusan ini akan kembali ke tahap sebelumnya.

Manusia sebagai Khalifah dan Penyelamat

Walaupun manusia menjadi pendorong utama di sebalik kejadian kepupusan terbaharu ini, namun kita juga jawapan untuk menghentikannya.

Di dalam dunia yang penuh saintis, ahli konservasi serta ahli alam sekitar yang bekerja di makmal, di kawasan pemuliharaan dan di medan perang politik, kebanyakan usaha yang dilakukan adalah untuk melindungi spesies yang terancam daripada pupus.

Dari menangani pelepasan pencemaran global hingga Inisiatif Sumber Global PBB yang memerangi penebangan hutan, undang-undang akan selalu berada di barisan hadapan dalam memerangi kepupusan secara besar-besaran.

Satu kaedah terbaik untuk mencegah sebuah spesies menjadi pupus adalah dengan memantau populasi mereka dan mengenal pasti masalah sebelum terlambat untuk membantu.

Selain itu, kita sebagai warga dunia turut boleh membantu mencegah kepupusan kehidupan ini dengan memberikan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang merosakkan ekosistem kehidupan kepada pihak-pihak berkuasa.

Sebagai seorang penduduk bumi, kita kena menghargai serta menjaga dunia ini dari sebarang kehancuran. Kita perlu ingat bahawa hanya ada satu sahaja bumi dan ianya adalah bumi yang kita berpijak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *