Bulan pelindung bumi, sumber takwim hijri

 Bulan pelindung bumi, sumber takwim hijri

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah (peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji. – Al Baqarah ayat 189

Seperti objek angkasa yang lain contohnya bintang, planet, komet, meteor dan sebagainya, bulan juga adalah perkara yang menarik untuk dilihat di langit. Terdapat beberapa planet yang mempunyai bulan seperti Marikh (mempunyai 2 bulan), Zuhal (mempunyai 53 bulan) dan Musytari (mempunyai 50 bulan), serta Bumi yang hanya (mempunyai 1 bulan).

Bulan dipercayai terbentuk hampir 4.5 bilion tahun dahulu, tidak lama selepas pembentukan Bumi. Walaupun terdapat beberapa teori tentang asal-usulnya, penjelasan yang diterima sekarang ialah Bulan terbentuk daripada sisa hentaman Bumi dengan objek cakerawala. Bulan dipercayai berasal daripada asteroid bersaiz Marikh yang menghentam Bumi lalu berkecai. Teras asteroid itu terus menghentam Bumi, tetapi lapisan luar asteroid terpelanting dan terperangkap dalam orbit mengelilingi Bumi lalu membentuk Bulan. Teori ini berdasarkan isipadu bulan yang terlalu ringan berbanding isipadu Bumi, iaitu hanya 0.012 berbanding jisim Bumi.

Bulan amat mudah untuk dilihat kerana ia berada berhampiran dengan Bumi dan ianya akan muncul hampir setiap malam. Fasa bulan bermula dengan kelahiran anak bulan, bulan sabit,bulan separa, bulan purnama dan bulan sabit tua dalam tempoh kitarannya mengelilingi Bumi yang mengambil masa 29 atau 30 hari.

Bulan yang beredar mengelilingi Bumi adalah satelit semula jadi dan tidak mempunyai sumber cahayanya sendiri. Cahaya yang dilihat pada bulan sebenarnya adalah dari pantulan cahaya daripada Matahari. Di bulan tidak ada udara ataupun air dan permukaan bulan terdapat banyak kawah yang terhasil disebabkan oleh hentaman komet atau asteroid.

Di antara kawah terbesar di bulan adalah Copernicus (dinamakan sempena nama angkasawan Nicolaus Copernicus). Saiznya berdiameter 90k ilometer dan kedalaman 30 kilometer. Jarak antara bumi dan bulan adalah 384,403 km iaitu sekitar 30 kali diameter Bumi.

Fungsi bulan secara tidak langsung melindungi Bumi dari hentaman objek di langit seperti komet dan asteroid. Graviti bulan juga membantu memperlambatkan putaran bumi malah tarikan graviti bulan pula menyebabkan terjadinya kejadian air pasang surut di Bumi dan membantu penyesuaian perubahan musim daripada cuaca yang ekstrem dan kejadian malam dan siang yang terlalu pendek.

 

Takwim Islam / Takwim Hijri.

Bulan dijadikan sumber rujukan untuk menerbitkan kalendar hijri kerana perubahan fasanya dapat memberikan petunjuk mengenai julat sesuatu masa.

Secara umumnya, penetapan awal bulan hijri, khususnya Ramadan, Syawal dan Zul-Hijjah ditentukan dengan kenampakan anak bulan (hilal) setelah matahari terbenam. Umur hilal dikira bermula berlakunya ijtimak (pemisahan di antara fasa bulan lama dengan bulan baharu).

Ijtimak adalah keadaan di mana kedudukan bulan berada di antara matahari dan Bumi. Buat masa ini, Malaysia menggunakan kriteria Imkan al-Rukyah bagi penetapan awal bulan hijri.

Rajah 1. Bulan

 

Rajah 2. Fasa-fasa Bulan

 

 

Rajah 3. Kawah Copernicus

 

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  35  =  44