• Thursday, 17 June 2021, 1:45 pm

Bukan saya yang rosakkan Liga M, saya selamatkan – TMJ

 Bukan saya yang rosakkan Liga M, saya selamatkan – TMJ

JOHOR BAHRU, 8 Jun – Pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’Zim, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) menafikan dakwaan sesetengah netizen kononnya beliau yang merosakkan Liga Malaysia dengan membeli pemain-pemain berbakat dari kelab lain. TMJ sebaliknya berkata bahawa beliau hanya menjalankan amanah dan tanggungjawabnya sebagai pemilik kelab bola sepak.

“Saya di sini bukan untuk menjaga semua kelab atau pasukan dalam Malaysia. Tanggungjawab saya adalah JDT. Jadi ianya adalah sebuah amanah dan tanggungjawab saya untuk membawa kejayaan kepada kelab,” katanya pada laman rasmi Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

“Begitu juga dengan DYTM Raja Muda Selangor dan Zamsaham yang memiliki pasukan bola Selangor FC dan Kelantan. Jadi apa sahaja keutamaan dalam hal strategi baik dari segi komersial, pembelian pemain atau pun akademi, itu adalah tanggungjawab kami,” tambah beliau.

“Kelab Eropah seperti Bayern Munich turut membeli pemain dari kelab lawan kerana keutamaan mereka adalah kejayaan kelab,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau akan melakukan apa sahaja demi memperkuatkan pasukannya termasuk membeli pemain kelab lawan serta menajamkan bakat dan kemahiran pemain sendiri.

Beliau turut menolak pandangan bahawa kehadirannya merosakkan Liga Malaysia (Liga M) selain menyelar pasukan lain yang tidak menjaga kebajikan pemain.

“Ada yang kata saya ‘spoil’ Liga M tetapi sebaliknya ada empat lima pasukan yang tidak membayar gaji pemain, jadi siapa sebenarnya yang ‘spoil’ Liga M? Sekiranya pasukan lain tidak membayar gaji, tidak menjaga kebajikan pemain, kenapa pula saya yang dikatakan merosakkan Liga Malaysia?

“Jikalau pengurusan tidak membayar gaji, salah menguruskan, itu adalah kegagalan mereka sendiri. Sebaliknya saya menyelamatkan pemain (yang tidak mendapat gaji),” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *