• Friday, 18 June 2021, 1:05 am

Bukan mudah kerajaaan kawal COVID-19

 Bukan mudah kerajaaan kawal COVID-19

Dato’ Dr Sahruddin Jamal

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Bukan mudah untuk kerajaan memutuskan sebarang keputusan dan tindakan bagi mengawal pandemik COVID-19 dalam usaha memulihkan kembali ekonomi dan negara.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Dato’ Dr Sahruddin Jamal yakin, setiap keputusan dan tindakan kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh serta kolektif dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19.

“Saya juga percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri sejak dari awal pentadbiran lagi telah melakukan usaha yang terbaik demi mengawal pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu penambahbaikan terhadap penyampaian maklumat dan kesedaran awam berkenaan pandemik itu perlu dilakukan.

Begitu juga dengan tindakan penguatkuasaan mengikut lunas perundangan yang bersifat tegas dan menyeluruh.

“Saya percaya kita boleh melandaikan lengkung kes jangkitan COVID-19 sekali lagi. Kita mampu menurunkan kes baharu harian ke angka sifar seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini. Ini memerlukan komitmen daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Ujarnya, sekarang bukan masa untuk menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu berlapang dada dan berjiwa besar, sekali gus memberikan tumpuan penuh terhadap usaha memerangi wabak COVID-19.

Bekas Menteri Besar itu berkata, usaha memerangi pandemik itu menuntut pengorbanan dan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang, tdak kira sama ada seorang wakil rakyat, penjawat awam, sektor swasta, selebriti, peniaga kecil mahu pun orang perseorangan.

“Tiada batas lagi untuk kita berusaha dan menunjukkan kesungguhan dalam bersama-sama dengan kerajaan memerangi pandemik ini di lapangan. Tindakan kita juga akan mencerminkan penghargaan terhadap perit jerih kumpulan ‘frontliners’,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *