Buka pintu sempadan negara kepada pelancong selewatnya 1 Jan 2022 – MPN

 Buka pintu sempadan negara kepada pelancong selewatnya 1 Jan 2022 – MPN

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media sebentar tadi. Foto – FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan pintu sempadan negara dibuka kepada pelancong asing selewat-lewatnya bermula 1 Januari 2022.

Menurut Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin situasi sektor pelancongan negara mengalami pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka

“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan khususnya dalm sektor pelancongan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Muhyiddin, Sektor pelancongan adalah yang paling teruk terjejas dan memerlukan pemulihan segera masa ini.

Jika terus ditutup, negara akan mengalami kerugian lebih RM90 bilion.

Oleh itu MPN menyarankan sempadan negara boleh dibuka dengan kaedah-kaedah atau langkah-langkah pematuhan tertentu yang difikirkan wajar dan perlu selain keutamaan yang boleh diberikan kepada negara yang telah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

Beliau berkata perkara tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat MPN hari ini.

“Kita mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi dan antara terbaik di dunia, mungkin dalam kalangan lima terbaik, jadi apa faedah yang sepatutnya kita raih ialah membenarkan pelancong masuk ke sempadan namun kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

“Jawatankuasa COVID-19 mungkin sudah mengenal pasti mana negara dibenarkan masuk ke negara kita dan ia patut diumumkan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin turut mengalu-alukan persetujuan yang telah dicapai oleh Malaysia-Indonesia hasil daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk membuka sempadan kedua-dua negara tidak lama lagi.

Jelas Muhyiddin, ia adalah satu tindakan yang wajar dan memberi manfaat kepada Malaysia dalam sektor pekerjaan membabitkan perladangan dan lain-lain.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  33  =  35