Buka hati kepada insan autisme

 Buka hati kepada insan autisme

Oleh Irwan Abd Rahman

HARI ini, 2 April adalah sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia. Tak ramai tahu tentang sambutan hari ini, dan saya tak rasa ramai yang ambil peduli pun.

Sepertimana ramai tak ambil kisah tentang tarikh sambutan Hari Autisme, begitu jugalah sebenarnya sikap masyarakat terhadap sindrom autisme itu sendiri. Kecelaruan spektrum autisme (Autism Spectrum Disorder atau ASD) pelbagai jenis keadaan, gangguan, tekanan dan sakit mental yang lain, adalah sesuatu yang jarang orang kita nak ambil tahu, peduli, prihatin ataupun mengaku wujud (apatah lagi nak membantu) – melainkan ia terjadi kepada diri atau ahli keluarga sendiri.

Biasalah, dalam kita semua nak kelihatan ‘normal’ dan diterima masyarakat, susah kita nak terima bahawa keadaan kecelaruan atau penyakit mental ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Bahkan dengan keadaan kehidupan sekarang yang semakin kompleks dan menekan, ada kemungkinan setiap seorang dari kita sebenarnya menderita daripada sakit mental yang berbeza jenis dan tahap. Stres? Depresi? Celaru? Lupakan saja! Jangan lembik sangat! Itu semua hanya cabaran hidup — kuatkan iman, kentalkan mental, semua akan OK!

Jadi, mungkin kerana takut kita dianggap ‘tidak normal’ dan ‘pelik’, lebih senang untuk kita abaikan sahaja topik ini, dan fokuskan tenaga kita kepada perkara-perkara lain yang lebih mudah diterima. Kalau orang tak nampak, masalah pun tak ada, bukan?

Malangnya, bagi mereka yang lahir dengan perkembangan neuro spektrum autisma, ia bukan sesuatu yang boleh diabaikan, mahupun dilupakan.

Keadaan perkembangan neuro ini, termasuklah juga Sindrom Asperger’s (kesukaran berinteraksi sosial dan bertutur serta corak pergerakan yang terhad atau berulang-ulang), Attention Deficit Disorder/ADD (kurang kebolehan memberi perhatian), hiperaktif, disleksik dan lain-lain, adalah sesuatu yang dideritai ramai. Bezanya, mungkin kerana tahap yang berbeza atau simptom-simptom yang tidak jelas, ramai tidak mendapatkan diagnos pakar dan seterusnya, rawatan atau bantuan yang sesuai.

Bagi ASD, ia selalunya dapat didiagnos ketika umur dua hingga tiga tahun, dengan tanda-tanda awal seperti pergerakan berulang, lambat bercakap dan konteks mata. Namun, ada juga kanak-kanak yang melalui perkembangan biasa sehinggalah mereka mula ‘hilang’ atau berhenti belajar kemahiran-kemahiran yang normal mengikut umur mereka.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, satu daripada 59 kanak-kanak dianggarkan mempunyai autisma. ASD di kalangan kanak-kanak lelaki juga adalah empat kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan, dan kanak-kanak perempuan juga menunjukkan simptom yang kurang jelas berbanding lelaki.

Autisme adalah keadaan seumur hidup, namun ramai kanak-kanak yang didiagnos dengan ASD dapat membesar menjadi dewasa yang dapat hidup secara bahagia, bebas dan produktif. Ramai sahaja di antara kita yang mempunyai simptom-simptom berbeza yang membolehkan kita didiagnos sebagai berada di dalam spektrum autisme, tapi disebabkan tahap kesukaran yang minimum, kita dapat abaikan dan berjaya teruskan kehidupan ‘normal’.

Kalau zaman dahulu, mereka yang menderita simptom autisme ini hanya disisih masyarakat dengan gelaran ‘gila’, ‘kurang siuman’ dan lain-lain panggilan yang agak zalim, tetapi kini, semakin banyak fasiliti, bantuan dan pakar-pakar tersedia untuk membantu golongan ini. Dari kelas-kelas istimewa di sekolah (Program Pendidikan Khas Integrasi atau PPKI), kelas kaunseling dan pelbagai program intervensi awal, ibu bapa kini mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan bantuan yang sesuai bagi anak-anak mereka. Pemahaman yang lebih meluas di kalangan masyarakat  juga banyak membantu mengurangkan stigma ke atas insan-insan intimewa ini, selain mengubah persepsi terhadap mereka.

Juga, semakin banyak organisasi yang diwujudkan sekarang menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan sumber rezeki bagi mereka, seperti Autism Cafe Project yang ditubuhkan oleh Adly Yahya bagi membantu anaknya, Luqman dan juga anak-anak senasib beliau membina masa hadapan yang cerah.

Alhamdulillah, ibu bapa yang dikurniakan anak-anak syurga ini kini mempunyai rangkaian sokongan yang baik bagi membantu mereka.

Jadi, apa pula yang boleh kita sumbangkan sebagai insan-insan ‘normal’ bagi memudahkan usaha membantu golongan autisme ini?

Pertamanya, prihatin. Terapkan sikap dan perasaan kasihan kepada mereka (dan juga golongan-golongan OKU lain yang memerlukan bantuan). Jikalau kita menghadapi situasi di mana kita boleh membantu, maka bantulah sedaya yang boleh. Mungkin bantuan itu dari segi kewangan ataupun kepakaran – berilah sedikit, atau luangkan masa sedikit. Tak perlu banyak, tapi cukup untuk memberi sedikit kebahagiaan kepada mereka dan ahli keluarga mereka yang setiap hari sabar meniti kehidupan yang mencabar. Kadang kala sedikit senyuman atau teguran salam yang ikhlas pun sudah cukup untuk menceriakan hari mereka.

Keduanya, jika anda tidak mempunyai daya, masa atau keinginan untuk membantu, kurangkan atau hilangkanlah perkara-perkara yang menambah beban mereka. Kadang-kadang kita tidak sedar yang sikap atau perbuatan kita itu boleh menyusahkan atau menyebabkan kesedihan kepada mereka. Daripada jelingan yang tak diingini, perkataan yang tak sensitif ataupun perbuatan yang tak manis, kita yang ‘normal’ ini kadangkala bersikap kejam dan menzalimi golongan istimewa ini tanpa kita berniat sedemikian. Kalau berdepan dengan situasi dimana seorang ibu atau bapa sedang bergelut nak tenteramkan anaknya yang sedang hilang kawalan, bising dan ‘mengganggu keadaan’ ketika anda sedang makan di restoran atau beriadah di tempat awam, elakkan dari membuat komen yang  tak membantu. Jadi lebih sensitif dan hentikan sahaja menambah beban, dan teruskan perjalanan anda.

Bak kata orang tua, kalau pun tak mau menolong, paling kurang pun jangan menyusahkan.

Ketiga, terima mereka sebagai hamba Allah yang setaraf dengan diri kita. Tak kurang dan tak lebih. Golongan yang berbeza upaya, mahupun kurang upaya, memerlukan bantuan dan kefahaman. Namun mereka berhak ke atas kehormatan diri (digniti) yang sama seperti orang lain. Mereka mungkin tidak dapat memproses segala informasi dan konteks seperti mereka yang biasa atau ‘neuro-typical’, tetapi mereka mempunyai perasaan dan keinginan, seperti kita juga. Jagalah hati dan kebajikan mereka, kerana mereka juga ciptaan Allah yang sempurna.

Ingatlah, bahawa Allah Maha Melihat. Golongan ini dianggap ‘anak-anak syurga’; cabaran mereka di dunia ini ditimbal balas dengan kebaikan hakiki di sana.

Cara kita melayan mereka pula adalah ‘cabaran’ kita – balasan kita belum kita ketahui lagi.

 


Untuk membantu, atau mendapat maklumat lanjut tentang autisma, sila ke https://www.nasom.org.my/

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  2  =