Budayakan rasa hormat, buang keangkuhan diri sendiri 

 Budayakan rasa hormat, buang keangkuhan diri sendiri 

Oleh Amran Zakaria

RASA hormat itu lahir dari perasaan kagum akan kebolehan dan  pencapaian seseorang.  Perasaan itu boleh dizahirkan dalam bentuk perbuatan,  lisan dan tulisan. Bahasa Inggeris menyebut istilah hormat ini sebagai ‘respect’. Istilah Inggeris itu juga sering digunapakai oleh sebahagian daripada masyarakat kita. Ia membawa maksud  perbuatan yang menunjukkan rasa hormat atau takzim kepada seseorang yang ada kaitan dengan budaya kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Hormat menghormati amat penting untuk memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan damai. Tidak mustahil jika hilang rasa hormat dalam diri kita, masyarakat kita akan dipandang rendah dan ia boleh mengheret ke arah hura-hara akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan.  Ini menunjukkan betapa pentingnya amalan hormat menghormati dalam kehidupan seharian kita.

Seluruh umat manusia perlu berpegang kepada nilai-nilai kebersamaan universal. Maka itu, kita perlu memupuk perasaan dan sikap hormat menghormati sesama kita, menghormati kepelbagaian yang ada, menghormati kelainan yang wujud sesama kita dari segi keupayaan dan kemampuan, kelainan dan perbezaan kefahaman dan pegangan hidup, kelainan dari segi agama, bangsa dan budaya, kelainan dan perbezaan pandangan. Malah banyak lagi kelainan lain yang seharusnya kita hormat dan perlu dipupuk dengan sebaik mungkin yang merentasi apa jua perbezaan dan kelainan yang ada.

Dalam  Islam, saling hormat menghormati adalah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji. Sifat saling hormat menghormati ini harus ada kepada seseorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Sikap hormat menghormati ini adalah antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Antara contoh sifat saling hormat menghormati ialah saling bekerjasama, saling menghargai antara satu sama lain dan menghargai budi serta jasa orang lain. Selain itu, dalam pergaulan seharian, kita juga dituntut untuk berakhlak mulia seperti baik dalam bertutur kata, perilaku bahkan ia menjadi syarat kesempurnaan Iman seorang mukmin.

Sifat ini seharusnya ada kepada seseorang Muslim kerana  antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Antara contoh sifat saling hormat menghormati ialah memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama, saling menghargai antara satu sama lain dan menghargai budi serta jasa orang lain.

Sebenarnya, nilai hormat menghormati ini asasnya perlu dipupuk sejak kecil lagi. Ini jelas menunjukkan peranan ibu bapa dalam mencorakkan anaknya. Jika sejak kecil lagi sikap hormat menghormati dibajai dalam diri anak-anak, akhirnya akan menjadi satu budaya yang akan dibawa sehingga dewasa.

Ibu bapa juga harus menjadi contoh yang baik kepada anak mereka kerana peri laku orang dewasa biasanya akan menjadi ikutan kanak-kanak.  Jika baik tingkah laku ibu bapa di rumah dan di luar rumah seperti mengamalkan nilai hormat menghormati sesama ahli keluarga, jiran tetanga dan orang sekeliling sehinggalah ke peringkat menghormati  pemimpin,  ianya akan memberikan kesan positif   kepada anak-anak mereka.

Islam begitu mementingkan sifat saling hormat menghormati. Islam tidak menyuruh kita agar hormat-menghormati kepada sesama Muslim sahaja bahkan perlu saling hormat menghormati kepada semua orang. Ini kerana bukan sahaja ganjaran besar yang Allah berikan, bahkan  kehidupan manusia itu akan lebih sempurna, saling bantu membantu dan rukun damai sesama mereka.

Perasaan hormat menghormati ini berada dalam skop yang luas. Hormat orang yang lebih tua, hormat adab dan budaya orang lain, hormat pemimpin dan hormat institusi undang-undang. Apatah lagi hormat menghormati undang-undang dan peraturan negara malah norma-norma masyarakat sekeliling yang ada.

Nilai atau rasa hormat boleh diterjemahkan dalam aktiviti harian seperti bekerjasama tanpa mengira kaum, harta, usia dan pangkat. Hubungan baik antara pihak atasan dan orang bawahan adalah penting bagi memastikan keharmonian terjalin. Pihak atasan perlu mengambil kira hal ehwal orang bawahan, mendengar suara orang bawahan dan tidak mementingkan diri sendiri dalam membuat keputusan. Nilai hormat menghormati adalah aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Akhir-akhir ini, sifat dan nilai saling hormat menghormati ini telah mula terhakis sedikit demi sedikit daripada jiwa orang Islam apabila perasaan saling hormat-menghormati ini semakain hilang dari jiwa umat Islam.

Di antara nilai dan amalan mulia yang mulai pudar ini ialah hormat menghormati, toleransi dan berbaik sangka. Orang muda sudah mula hilang hormat kepada golongan tua. Jiran juga sudah tidak dihormati, pemimpin masyarakat setempat sudah tidak dihormati lagi. Begitu juga hormat rakyat kepada pemimpinnya semakin hilang.

Seorang anak berani bertengkar dengan ibu bapa. Seorang bapa  bertindak  menengking guru di depan anaknya di sekolah. Seorang pemimpin  mempersendakan rakyat dan seorang isteri mengherdik suami di depan khalayak. Ini semua menunjukkan keadaan sebenar masyarakat hari ini.

Sepatutnya sikap hormat menghormati perlu ada pada setiap individu, tidak kira tua, muda, kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, sikap hormat antara satu sama lain perlu untuk memastikan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Oleh kerana sifat dan nilai hormat menghormati ini semakin pudar dalam masyarakat pada hari ini, maka berlakukan pelbagai perkara yang tidak diingini seperti pertelingkahan, perpecahan dan sebagainya. Akibat  pudarnya nilai hormat menghormati ini, wujudnya kumpulan dalam kalangan masyarakat yang senang bermusuh diantara satu sama lain.

Diceritakan Rasulullah  SAW  sangat  menghormati   tetamunya walapun dari kalangan bukan Muslim.  Penghormatan Baginda kepada tetamu itu telah menimbulkan pengaruh besar dan membawa seseorang menjadi Muslim. Salah satunya adalah Adi bin Hatim. Sebelum memeluk Islam, Adi pernah berkunjung ke rumah Baginda Nabi. Ternyata dia diberi Iayanan yang baik, walaupun dia ketika itu masih belum Islam.

Rasulullah mengambil sebuah bantal agar Adi bin Hatim duduk selesa. Dengan penuh rasa hormat, Adi dipersilakan duduk di atas bantal itu. Namun Adi menolaknya dan bertanyakan bagaimana dengan Rasul sendiri. Menurut Adi, tuan rumah lebih berhak duduk di atas bantal berbanding dengan dirinya. Namun, Rasul menegaskan bahawa  tetamunya adalah  lebih utama. Hati Adi tersentuh dan kagum dengan sikap Rasul yang mulia itu. Betapa luhurnya hati dan jiwa Rasulullah. Terkesan dengan akhlak Nabi, akhirnya Adi Bin Hatim memeluk Islam.

Budi bahasa dan adab sangat bernilai dan tidak boleh dijual beli. Ia adalah sesuatu yang sangat terpuji yang  terbit daripada hati sanubari seseorang.

Namun di zaman siber ini, budi bahasa bukan lagi menjadi keutamaan apabila unsur-unsur menghina, mengaibkan, menjatuhkan maruah seseorang dan memfitnah terus menjadi fenomena biasa yang dapat ditatap hari-hari dalam media sosial.

Media sosial dan Internet yang sepatutnya digunakan untuk tujuan kebaikan malangnya digunakan oleh sesetengah pihak untuk menanam kebencian, kebebasan bersuara yang melampau dan sebagainya sehingga membawa kearah sikap yang biadab, memaki hamun, mencarut dan bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada batas sempadan, akhlak dan perasaan malu berbuat demikian.
Begitu juga bila sesuatu peraturan dikuatkuasakan untuk tujuan menghormati sesuatu institusi, sesetengah pihak sengaja mengaitkan dengan pegangan agama dan kaum semata-mata untuk lari dari sikap sebenar yang jahil dan buta budaya, malah melupakan kepentingan menghormati institusi, jabatan dan organisasi.
Semua ini perlu dibetulkan segera. Kembalilah kepada pegangan nilai-nilai murni masyarakat yang berteraskan kepada menghormati. Inilah adab dan akhlak pegangan semua agama, bangsa dan budaya yang sering meminta kita saling hormat menghormati yang bermula dengan memahami dan mengambil tahu kepentingan yang ada di sebalik norma dan amalan masyarakat sedia ada.
Jika kita belajar untuk menghormati pekerjaan orang lain, sudah pasti kita akan tahu menghargai peranan mereka dan tidak sewenang-wenangnya memandang rendah apatah lagi mengeluarkan kata-kata dalam nada menghina. Belajarlah tatacara menghormati orang lain jika kita mahu orang lain menghormati kita.

Amalkan budi bahasa dan adab yang baik dalam berinteraksi dengan orang sekeliling samada secara lisan atau melalui tulisan yang dipamer dalam media sosial. Tidak rugi berbuat baik sesama manusia kerana ia  akan membawa suasana yang lebih harmoni di dalam kehidupan kita.

Penulis ialah penganalisis isu sosiopolitik dan sosiobudaya semasa.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12  +    =  22