• Sunday, 20 June 2021, 9:52 am

Budaya kra perkukuh keharmonian kaum pada Aidilfitri

 Budaya kra perkukuh keharmonian kaum pada Aidilfitri

Etnik Bajau dan Kadazandusun yang mengaku berkeluarga bertukar juadah dengan kraftangan pada Aidilfitri.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA BELUD, 13 Mei – Bertukar juadah raya dengan kraf tangan antara masyarakat Bajau beragama Islam dengan Kadazandusun beragama Kristian masih diteruskan kedua-dua suku kaum berkenaan setiap kali sambutan Aidilfitri.

Menerusi amalan budaya itu, masyarakat Kadazandusun akan berkunjung ke perkampungan Bajau untuk berhari raya sambil membawa kraf tangan seperti bakul, sirung (topi tradisional Kadazandusun) dan tampi selain buah-buahan tempatan Sabah seperti terap dan bambangan untuk ditukar dengan makanan tradisi Bajau seperti penjaram, penganan (kuih cincin) dan penetad.

Lebih menarik, kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian secara lisan sebagai keluarga menerusi ikatan dikenali sebagai kra.

Budaya ini berkait rapat dengan kewujudan Tamu Kota Belud yang diasaskan oleh Residen British Pertama di Tempasuk (kini Kota Belud), William Pretyman pada 13 Disember 1878 dengan tapak asal di Kampung Siasai, kira-kira 2 km dari pekan Kota Belud, kekal hingga kini.

Tamu popular sebagai tempat penyatuan masyarakat berbilang kaum khususnya yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan sejak 143 tahun lalu yang mencakupi etnik Bajau, Kadazandusun dan Iranun.

Ikatan persahabatan dikenali kra yang tersemai di Tamu Kota Belud menjadikan wanita etnik Bajau dan Kadazandusun di Kota Belud hidup dalam suasana perpaduan biarpun berbeza agama dan budaya. Kecenderungannya, mereka menggunakan bahasa Bajau sebagai medium komunikasi.

Etnik Bajau dan Kadazandusun yang mengaku berkeluarga bertukar juadah dengan kraftangan pada Aidilfitri.

Bagi kampung yang jaraknya jauh dan berdepan masalah perhubungan jalan raya, etnik Kadazandusun bermalam di rumah masyarakat Bajau sehingga dua malam. Ini kerana hanya kenderaan pacuan empat roda yang boleh digunakan ke kampung mereka dan ia mengambil penumpang di pekan Kota Belud tiga kali seminggu.

Mereka bertolak dari kampung dengan menggalas kraf tangan dan buah-buahan menggunakan wakid (beg tradisi etnik Kadazandusn) dan membawa pulang kuih-muih.

Penat lelah nyata berbaloi kerana mereka meninggalkan sahabat yang setia menanti kedatangan tahun berikutnya. Sebelum berpisah, mereka berjanji akan menjadi sahabat sejati selama-lamanya melalui hubungan kra.
Pada musim buah-buahan tempatan terutama terap, etnik Bajau akan berkunjung ke kampung sahabat membawa kuih tradisional untuk ditukar dengan buah-buahan, tetapi tidak bermalam di situ.

`Dalas Pangi’ atau ikan pekasam tilapia menggabungkan dua budaya iaitu tilapia ditangkap kaum Bajau manakala biiji `pangi’ atau buah kepayang dari kampung Kadazandusun.

Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kota Belud, Kuim Harun berbangsa Bajau berkata, kra bermakna bersaudaraan atau bedenakan dalam bahasa Bajau dengan tetamu Kadazandusun yang berkunjung ke rumah kaum Bajau turut dijamu dengan pelbagai juadah sama seperti tetamu lain.

WKAN adalah pakar rujuk membabitkan adat dan budaya masyarakat peribumi di Sabah di bawah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Katanya, perkenalan singkat antara dua kaum di Tamu Kota Belud membawa kepada hubungan kekeluargaan, saling menghormati dan kunjung mengunjung.

Beliau berkata, budaya itu antara amalan terpenting di daerah Kota Belud untuk mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Ada keluarga yang mempunyai lebih lima kra yang datang ke rumah terutama ketika Aidilfitri dan Aidiladha. Hubungan akrab antara kaum ¬†terjalin atas dasar persahabatan dan saling hormat menghormati biarpun berbeza agama dan bangsa.

‚ÄúNamun budaya ini seakan pupus kerana generasi muda yang terkenal dengan jolokan generasi millennium tidak lagi meneruskannya. Mungkin hubungan ini beralih dalam media sosial pula,‚ÄĚ katanya.

Bagi Marlina Marlin kunjungan ke perkampungan Bajau pada musim perayaan mengukuhkan persahabatan yang sebelum ini terjalin di Tamu Minggu Kota Belud.

Ketupat palas dan ketupat daun kelapa turut menjadi juadah.

“Sebenarnya, kami boleh membeli kuih tradisional di Tamu Minggu atau Pasar Kuih-Muih Kota Belud, tetapi memilih berkunjung ke rumah masyarakat Bajau meneruskan tradisi bertukar barang diamalkan nenek-moyang.

“Kami gembira mengunjungi perkampungan¬†Bajau¬†kerana mereka memberi layanan istimewa. Kunjungan ini mengeratkan persahabatan dan mewujudkan kunjungan timbal balik yang mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada Wacana.my di Kampung Labuan, Kota Belud, baru-baru ini.

Marlina berkata, masih ada segelintir belia wanita muda dalam lingkungan 20-an yang mengamalkan tradisi itu biar pun ia hampir pupus kerana generasi muda menganggapnya ketinggalan zaman.

“Generasi muda tidak seharusnya berasa terpinggir menggalas wakid seperti golongan tua kerana tidak salah meneruskan amalan tradisi yang membawa kebaikan kepada masyarakat pelbagai kaum.

Justeru, hubungan kra antara etnik Bajau dan Kadazandusun seharusnya dijadikan antara model penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama di negara ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *