Budak hilang selipar dakwa diculik, takut dimarahi ibu bapa

 Budak hilang selipar dakwa diculik, takut dimarahi ibu bapa

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU  – Gara-gara takut dimarahi ibu bapa kerana selipar hilang, seorang budak lelaki mendakwa dirinya diculik ketika pergi ke kedai berhampiran kawasan perumahan di Permas Jaya, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu pasangan kembar yang memberitahu salah seorang anak kembarnya telah hilang pada 6 November lalu.

Siasatan awal mendapati pada hari laporan polis dibuat, kira-kira jam 3 petang, kedua-dua anaknya yang berumur 11 tahun telah pergi ke kedai runcit berhampiran rumahnya untuk membeli barang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat

“Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi menunggu di luar kedai runcit itu. Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu ibu bapanya berkaitan kehilangan kembarnya.

“Susulan kejadian itu, ibu berusia 38 tahun telah bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan, namun tidak menjumpai dan membuat laporan polis. 

“Selepas dua jam dilaporkan hilang, iaitu kira-kira jam 5 petang, anak pengadu memaklumkan bahawa kembarnya telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Raub, siasatan lanjut oleh pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut dijumpai dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian. 

Semasa dijumpai, budak tersebut menceritakan kepada ibu bapanya dan mendakwa dirinya telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai topeng ninja dan dibawa ke sebuah rumah tetapi berjaya melawan seterusnya melarikan diri.

“Hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut memberitahu kejadian sebenar bahawa dia bermain kejar-kejar bersama-sama rakannya sehingga kehilangan selipar. 

“Bimbang dimarahi oleh ibu bapa, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari. Kes mendapati tiada unsur jenayah dan diklafikasikan tiada tindakan lanjut (NFA). Pihak polis menafikan kejadian culik yang dilaporkan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  +    =  43