Buaya sesat di tasik buat penduduk risau

 Buaya sesat di tasik buat penduduk risau

SEPANG: Terkejut dengan kehadiran tetamu tidak diundang, apabila seekor seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter telah ditemui di dalam sebuah tasik baru ini.

Kejadian tersebut telah menggemparkan penduduk di sekitar kawasan Kampung Ahmad Razali Tambahan, Dengkil semalam.

Memetik sumber Kosmo, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Dengkil, Sahadan Ahmadon berkata, dia telah dimaklumkan mengenai penemuan reptilia tersebut daripada penduduk yang menetap di kawasan sekitar tasik berkenaan.

Sebelum ini beberapa penduduk mendakwa pernah terlihat buaya di kawasan tersebut namun kali ini beberapa orang pekerja warga asing yang melalui kawasan berkenaan telah terserempak dan berhadapan dengan reptilia itu.

“Susulan penemuan tersebut, pihak kami segera membuat panggilan kepada pihak bomba untuk tindakan selanjutnya demi menjaga keselamatan semua penduduk dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber Kosmo

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada penduduk kampung kira-kira pukul 8.29 malam sebelum bergegas ke lokasi penemuan haiwan reptilia tersebut.

Sebaik sampai dilokasi, anggota dan pegawai bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya terus melakukan pemantauan dan didapati benar kejadian terserempak dengan haiwan liar itu seperti yang dilaporkan.

“Berdasarkan maklumat daripada penduduk, telah kelihatan seekor buaya dewasa berukuran dianggarkan sepanjang 2.1 meter di dalam tasik yang dipercayai telah tersesat dari sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pasukan bomba tidak melakukan sebarang kerja-kerja penangkapan buaya sebaliknya telah memasang sawar-sawar serta menampal tanda amaran bahawa terdapatnya buaya di dalam tasik berkenaan.

Penduduk setempat juga dinasihati agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam atau berhampiran tasik tersebut atas sebab-sebab keselamatan.

“Operasi seterusnya diserahkan kepada Pejabat Perhilitan Hulu Langat bagi tindakan lanjut,” ujar beliau

Izz Fizz

izz@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  51  =  55