• Sunday, 20 June 2021, 8:44 am

Buat pembetulan: Islam untuk dunia dan akhirat

 Buat pembetulan: Islam untuk dunia dan akhirat
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

PADA hakikatnya Islam ialah agama yang lengkap dunia akhirat dan agama universal. Umat Islam mengetahui tentang perkara ini. Tetapi amat menyedihkan bahawa umat Islam sendiri pun pada umumnya masih tidak dapat memahami tentang pengertian ini. Dan, sehingga sekarang ini pun masih tidak dapat membuat kesimpulan bagi permikiran dan amalan mereka sendiri tentang sistem Islam yang sebenarnya. Cara umat Islam memahami Islam sebagai Al-Din, iaitu cara hidup yang sempurna; tidak seimbang sama sekali.

Program TV, radio dan tulisan-tulisan mengenai agama kebanyakan hanya menekankan tentang ritual, ibadat khusus, doa, zikir, wirid dan sebagainya. Kalau kita pergi ke kedai-kedai buku maka buku yang dinamakan sebagai ‘buku agama’, juga membicarakan tentang hal sama. Ia hanya merangkumi bekalan untuk akhirat semata-mata. Tidak banyak buku menyentuh tentang kehidupan kita sebagai orang berilmu, berpengetahuan dan berpandangan jauh tentang sains dan teknologi yang dapat mencorakkan bahawa kehidupan kita di dunia yang sebenarnya adalah satu jambatan demi mencari kebahagiaan di akhirat.

Malah lebih daripada itu ‘buku-buku agama’ seolah-olah tidak perlu berbicara tentang kehidupan di dunia yang menyentuh persoalan ekonomi, teknologi, industri, etika dan semua bidang kehidupan di dunia. Malah ada kalanya ia dilihat sebagai sesuatu yang boleh melupakan orang Islam tentang akhirat dan kehidupan kerohanian mereka.

Kita tidak menentang amalan agama yang fundamental dan asasi ini. Kita menerima segala amalan ibadat khusus dan kerohanian ini sebagai asas yang amat penting dalam kehidupan orang Islam. Ini kerana ibadat adalah merupakan satu amalan yang asasi bagi orang Islam, doa merupakan ‘otak’ ibadat, zikir adalah penawar, malah ibadat khusus adalah merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang tidak boleh ditinggalkan.

Namun apabila penekanan hanya diberikan sepenuhnya dan hanya khusus  terhadap kehidupan ini, maka kehidupan orang Islam tidak akan menjadi seimbang dan senada dengan falsafah beragama yang sering ditegaskan dala Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam ditekankan tentang kepentingan dunia dan akhirat, ibadat solat dan zakat, kepentingan membantu orang susah dan miskin. Begitu juga kepentingan menjaga alam sekitar yang sering tercemar, menjaga nyawa, harta dan keselamatan diri, menjaga waktu dan kaedah pengurusan serta perkara-perkara lain, yang mungkin tidak banyak dibicarakan dalam pengajaran Islam.

Penerusan dalam menekankan tentang hal-hak akhirat ini sahaja, akan membawa kehidupan orang Islam jauh tertinggal dari arus perdana kehidupan kita di dunia yang serba mencabar dan maju ini. Kita akan terpinggir dari kemajuan teknologi baharu dan alam ekonomi dunia. Malah keciciran dari alam ilmu pengetahuan yang bermanfaat umumnya, dan kita pada masa itu akan ditinggalkan di dalam masjid-masjid kita atau surau-surau kita sahaja.

Kita akan dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani kita sahaja. Sedangkan mereka mengambil kesempatan mengaut kekayaan dan menindas pemikiran kita. Ini menyebabkan kita merasa tertekan dan teraniya, maka kita akan bangun berjihad, membunuh mereka, atau membunuh sesama kita yang kita anggap sebagai musuh kita walau pun mereka seagama dengan kita. Tetapi oleh kerana mereka tidak berada dalam kelompok kita dan tidak sealiran dalam politik dan amalan kita maka kita anggap mereka sebagai musuh kita, sama juga seperti musuh kita – orang kafir.

Usaha sebahagian umat Islam terutamanya yang dimulai di Barat untuk menegakkan masyarakat Islam yang maju dalam kehidupan jasmani, sains dan teknologi, telah mendapat tentangan yang hebat masyarakat Barat.  Malah masyarakat Islam sendiri yang melihat bahawa kehidupan dunia yang seperti itu akan melupakan umat Islam tentang kehidupan akhirat dan melupakan ibadat. Apatah lagi ia dilihat akan menjadi umat yang hanya bersifat tamak haloba dan menuntut dunia semata-mata. Oleh itu, umat Islam pada masa-masa yang terakhir ini nampaknya mulai menyempitkan tentang falsafah dan konsep kerohaniaan Islam dalam bentuk spiritual dan ritual, sekali gus menanamkan sifat benci kepada kehidupan kebendaan, kekayaan dan sebagainya.

Hal ini perlu kita fahami dengan baik. Kalau demikianlah takrifan dan konsep agama, maka apakah pula maknanya doa yang sering kita baca yang meminta supaya kita diberikan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Di mana letaknya falsafah dan cara hidup Islam yang terkandung di dalam firman Allah yang menuntut kita supaya berusaha dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita untuk hari akhirat, di samping tidak melupakan nasib kita di dunia ini?

Perhatikan program agama dalam TV, radio, ceramah agama, forum dan sebagainya yang dikatakan sebagai program agama. Adakah disebut tentang kefahaman kita yang menyeluruh terhadap pengertian agama dalam aspek pembangunan manusia yang sempurna dalam dunia ini? Adakah buku-buku yang ditulis tentang agama yang menggalakkan usaha mempertahankan diri dalam bidang ilmu, teknologi, politik, etika dan akhlak, malah dalam memahami bagaimana agama memainkan peranan dalam pembangunan perdagangan, industri dan pembangunan keduniaan secara menyeluruh bagi umat Islam sendiri pada masa kini?

Kita harus mewujudkan perseimbangan dalam memberi kefahaman kepada umat Islam terutamanya generasi baharu kita tentang apakah ertinya Islam? Apakah ertinya sains Islam dan perubatan Islam yang selama ini kita terlalu memperkecilkan fokusnya kepada ritual dan doa saja.

Ada orang tidak lagi percaya kepada proses perubatan moden, terapi moden umpamanya. Sehinggakan sikap tawakkal kepada Allah seolah-olah telah menjelma menjadi satu penyerahan diri bulat-bulat tanpa usaha dan ikhtiar dengan menggunakan teknik dan kaedah ilmu manusia yang moden.

Kita percaya dan penuh beriman kepada Allah SWT, kepada doa dan zikir, wirid dan munajat kepada Allah. Kita juga percaya kepada dasar yang fundamental dalam agama dan ajaran kerohanian Islam. Tetapi dalam masa yang sama, kita haruslah melihat dunia ini dari kaca mata akal manusia yang baharu, yang juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita perlu menuntut ilmu walau di mana sahaja datangnya asalkan ia tidak membawa kepada kesesatan.

Semuanya ini perlu  diperbetulkan ketika kita berbicara tentang ‘agama’, pendidikan agama dan ubat agama. Juga mengenai pengetahuan agama, program agama, tulisan agama, lakonan agama, dan sebagainya. Kita harus membuka mata umat kita tentang hidup ‘sebelah lagi’ bagi orang Islam iaitu hidup di dunia, bukan hanya hidup di akhirat. Kalau kita hanya asyik menekankan tentang agama dalam aspek kerohaniaan, kita akan ditinggalkan oleh kemajuan dunia dan manusia lain. Sedangkan kita selalu membaca ayat Al-Quran yang menyebut bahawa nasib kita tidak akan diubah oleh Allah SWT, sekiranya kita tidak berusaha mengubah apa yang ada di dalam diri kita sendiri.

Apa yang ada di dalam diri kita ialah akal fikiran dan pembentukan sikap yang betul, mencipta tamadun dan peradaban kita, cara hidup dunia akhirat yang dinamik, juga jati diri kita sendiri. Inilah perkara-perkara yang harus dibetulkan di dalam diri kita sendiri.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *