Buang air terawat loji nuklear ke dalam laut, Malaysia perlu bersuara

 Buang air terawat loji nuklear ke dalam laut, Malaysia perlu bersuara

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Malaysia perlu memainkan peranannya sebagai anggota Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dengan mengutarakan isu impak jangka panjang pembuangan air terawat loji nuklear ke dalam laut di peringkat antarabangsa.

Pengasas bersama ‘Project Ocean Hope’, Mogesh Sababathy berkata tindakan itu perlu bagi memastikan kelestarian alam terutamanya hidupan laut tidak tergugat.

“Biarpun sisa nuklear akan dilarutkan dalam air tapi jumlah konsentrasi bahan pencemar juga mesti diberi perhatian dan jika dilarutkan sekalipun, bahan toksik tetap toksik dan boleh membawa kesan kepada semua pihak.

“Justeru, Malaysia perlu memainkan peranan bagi mengutarakan pekara ini ke peringkat antarabangsa kerana ia melibatkan tentang keselamatan dan kesihatan masyarakat serta hidupan laut di negara serantau,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini Kerajaan Jepun meluluskan rancangan melepaskan lebih satu juta tan air terawat daripada loji nuklear Fukushima ke dalam laut.

Rancangan Jepun itu mendapat sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berkata proses itu menyamai menyingkirkan sisa air daripada loji nuklear di tempat lain di dunia.

Mogesh menambah pembuangan air terawat loji nuklear ke dalam laut di lihat mampu memberi kesan terhadap rantaian keselamatan makanan dunia.

“Radioaktif nuklear mampu memberi kesan pada hidupan laut yang boleh menyebabkan kematian organisma sekali gus menganggu gugat sumber ekonomi penduduk yang bergantung pada sumber laut.

“Tidak dinafikan kedudukan Malaysia jauh dari Fukashima (Jepun) tetapi kita tetap berkongsi laut yang sama, tidak mustahil sisa itu mampu hanyut hingga ke negara kita,” katanya.

Beliau berharap pihak antarabangsa dapat mengkaji dan membangunkan kaedah alternatif yang lebih selamat bagi melupuskan sisa nuklear radioaktif tanpa mengancam alam sekitar.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

36  −    =  29