Buah kabung muncul tiap kali Ramadan 

 Buah kabung muncul tiap kali Ramadan 

Norhayati menjual buah kabung untuk juadah berbuka puasa di Kampung Pulau Rumput.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 27 April – Buah kabung dari Kampung Pulau Rumput, di sini terkenal di kalangan pengemar hidangan ‘rare’ itu kerana hanya akan muncul pada Ramadan untuk dijadikan sebagai pencuci mulut ketika berbuka puasa.

Buahnya sedap dimakan namun untuk menghasilkannya ia memerlukan kemahiran bagi mengelak berlaku keracunan dan gatal tekak yang serius.

Rahim Usani memilih buah kabung sebelum proses merebus dilakukan di Kampung Pulau Rumput.

Pokok kabung (Arenga pinnata) juga dikenali sebagai kantor atau enau yang tumbuh di Asia Tenggara dan Australia Utara. Tangkai bunga jantan pokok kabung boleh disadap untuk menghasilkan tuak yang boleh dijadikan cuka atau gula.

Tandan buahnya kira-kira 1.5 meter dan puratanya mempunyai 10 tangkai dengan setiap tangkai ada kira-kira 50 biji buah kabung.

Bagi Rahim Usani Husin, 55, setiap kali Ramadan beliau dan isterinya, Norhayati Mohd Shukur, 45, akan menghasilkan buah kabung bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurutnya, beberapa peringkat proses perlu dilakukan sebelum buah kabung boleh dinikmati di meja makan. Antaranya, memisah buah dengan tandan, merebus buah, mengeluarkan isi dan memasak.

Katanya, buah kabung sira dan tidak disira boleh menyebabkan kegatalan tekak yang serius selepas dimakan jika proses membuatnya tidak dilakukan dengan cara yang betul.

“Jika buah kabung ini disediakan tanpa pengalaman dan kemahiran, ia akan memudaratkan mereka yang memakanya,” katanya kepada Wacana.my.

Isi buah kabung yang telah direbus dan sedia untuk dijual.

Rahim menetap di Kampung Pulau Rumput, dekat sini. Menjelang seminggu sebelum Ramadan, kerja-kerja memetik buah kabung dilakukan. Beliau perlu memanjat pokok kabung untuk mengambil buahnya.

Katanya, setiap hari beliau mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram buah kabung yang sedia dijual pada harga RM5 hingga RM10 sebungkus mengikut berat.

Pada tahun-tahun sebelum ini, beliau menjual buah kabung itu di tepi Jalan Pekan-Paloh Hinai dekat Kampung Pulau Rumput namun tahun ini buah kabung diletakkan di warung milik saudaranya.

Sebelum ini, permintaan buah kabung begitu menggalakan terutama pengguna Jalan Pekan-Paloh Hinai. Namun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualannya agak berkurangan terutama apabila larangan merentas negeri.

“Saya akan terus berusaha menghasilkan buah kabung setiap kali Ramadan selagi permintaan terhadap produk berkenaan masih ada. Buah kabung memang terkenal di daerah ini selain hasil pertanian seperti pisang, ubi kayu dan buah-buahan,” katanya yang juga nelayan sungai.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

29  +    =  38